Lima kilang kotor diarah tutup demi kesihatan rakyat

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Sebuah kilang sayur pucuk warisan keluarga diarahkan menghentikan pengoperasiannya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang setelah didapati gagal memenuhi aspek kebersihan ditetapkan pihak berkaitan.

Timbalan Pengarah Kesihatan dan Kualiti Makanan Pulau Pinang, Ku Nafisah Ku Ariffin berkata, arahan tersebut merupakan kali pertama diberikan terhadap kilang yang dipercayai telah beroperasi kira-kira 100 tahun lalu.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah pekerja kilang berkaitan mengendalikan pemprosesan sayur pucuk tanpa memakai baju dan hanya berseluar pendek.

“Malah, siasatan turut mendapati bahawa pengilang itu mencampuradukkan papan serta kayu pembakaran bersama-sama kawah memasak sayur pucuk  yang mana mampu menyebabkan habuk pembakaran memasuki ke dalam ‘masakan’ berkaitan.

“Selain itu, kayu yang digunakan untuk menyidai sayur pucuk turut didapati kotor dan berkulat,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini, sebanyak 19 premis telah diperiksa.

Selain kilang sayur pucuk berkenaan, sebanyak lima premis lain turut diarahkan berbuat demikian, iaitu meliputi dua di Daerah Timur Laut dan masing-masing satu di Daerah Barat Daya, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Mengulas lanjut, Ku Nafisah menyatakan bahawa arahan penutupan kilang pemprosesan  manisan di Daerah Barat Daya adalah hasil siastan yang  mendapati manisan-manisan dihasilkan diletakkan di atas lantai.

“Malah, tandas kilang tersebut juga didapati dijadikan stor penyimpanan barang serta pakaian para pekerja. Lebih menjijikkan adalah baju pekerja sendiri disidai di atas mesin pengisar.

“Peralatan digunakan untuk pemprosesan juga didapati kotor, para pekerja tidak memakai apron dan penggunaan bahan mentah dari tin yang sudah kemek,” jelas beliau.

Tambahnya, kilang-kilang yang diarahkan memberhentikan operasinya diberi tempoh masa 14 hari untuk membersihkan premis masing-masing sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Pada masa sama, Ku Nafisah turut memohon Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya mengkaji syarat pengeluaran lesen membabitkan premis yang terlalu uzur bagi menjamin kesihatan rakyat negeri ini.