Masyarakat perlu proaktif, kerjasama bendung gejala buli – Exco

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PADANG KOTA – Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng menyatakan bahawa istilah buli adalah perlu difahami dengan sebaik mungkin kerana tindakan berkaitan berkemungkinan dilakukan tanpa disedari seseorang.

Misalnya, beliau menyatakan, apabila ibu bapa bertindak memarahi anak-anak dengan mengugut akan memukul sekiranya mereka (anak-anak) tidak melakukan sesuatu, ia adalah salah satu perlakuan buli.

“Malah, kepekaan kita terhadap apa yang berlaku di sekeliling adalah tidak bermakna bahawa kita menyibuk dengan hal orang lain, sebaliknya, ia merupakan salah satu langkah untuk membendung gejala buli,’’ ucapnya pada penganjuran ceramah ‘Hentikan Buli, Jadikan Kenyataan’ di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu bahawa masyarakat juga perlu bertindak proaktif dan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan sekiranya memperoleh maklumat berhubung kes-kes buli yang berlaku.

“Sekiranya tidak bekerjasama, maka kita juga merupakan penyumbang ia dan dikira bersubahat,’’ jelas beliau.