Pensyarah juara pertandingan seni lukis terbuka P. Pinang

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Pensyarah, Mohamad Rizal Sale dinobatkan juara Pertandingan Seni Lukis Terbuka Pulau Pinang 2015 bertemakan ‘ Harapan ‘ anjuran Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang ( BSLNPP ) sempena sambutan Ulang Tahun Ke- 50 Muzium Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Beliau ketika ditemui Buletin Mutiara memberitahu bahawa karyanya bertajuk, Seeds-Time Capsules of Life membawa maksud bahawa satu biji benih yang baik sekiranya disemai serta dijaga dengan elok, pastinya akan membuahkan hasil (yang) baik pada masa depan.

Malah, jelas beliau, simbolik objek bantal yang turut digunakan membawa maksud bahawa pengertian tersebut tidak hanya terhad kepada biji benih, sebaliknya manusia yang mana bayi baru dilahirkan sekiranya diasuh serta dididik dengan baik bakal menjadi manusia berguna.

“Saya menggunakan bahan-bahan seperti seramik, dawai, besi dan bantal untuk menghasilkan karya-karya ini.

“Ia memang amat sukar kerana pemprosesannya yang rumit” katanya di sini baru-baru ini.

Kejuaraan Mohamad Rizal yang berjaya mengalahkan 173 pencalonan karya seni berasaskan lukisan, arca, instalasi dan video membolehkan beliau membawa pulang hadiah bernilai RM8,000.

Hadir sama pada pameran berkaitan, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap kurator Muzium Pulau Pinang, Haryany Mohamad dan ketua juri pertandingan, Prof. Madya Hasnul Jamal Saidon.

Selain hadiah utama, empat pemenang lain masing – masing turut membawa pulang hadiah bernilai RM5,000 dan tiga pemenang saguhati (masingmasing RM1,000).

Dalam pada itu, menurut Haryany, selain Hasnul selaku ketua juri, juri-juri lain adalah Mohamad Majidi Amir ( Kurator Kanan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara ) , Mohd . Nasir Baharuddin (artis dan pensyarah) dan Koay Soo Kau (Pemilik Galeri Seni Mutiara).

Sementara itu, pada Majlis Penutup Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Muzium Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir sebagai tetamu kehormat memberitahu bahawa adalah penting bagi BSLNPP menambahkan karya serta koleksi artis-artis tempatan dan antarabangsa agar ia setanding dengan galeri-galeri awam serta swasta lain.