Mekanisma pasukan bencana Penang Sihat masih diperhalusi

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, memberitahu bahawa rancangan melahirkan pasukan bencana melalui program Jelajah Penang Sihat masih diperhalusi di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program jelajah kali keempat di Seberang Jaya anjuran portfolionya dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) di sini baru-baru ini.

Afif berkata, NGO, Malaysian Medical Association (MMA) Pulau Pinang turut menunjukkan minat untuk menubuhkan pasukan bencana berkenaan.

“Baru-baru ini pihak MMA ada menghubungi pihak berkaitan bagi berbincang dan bekerjasama bagi menubuhkan pasukan bencana di negeri ini.

“Walaupun kita sudah bersedia dengan staf perubatan dan doktor, tetapi mekanisma untuk menjalankan pasukan ini masih diperhalusi sebelum boleh dilancarkan sepenuhnya,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya menambah, penubuhan pasukan bencana tersebut bakal memberikan bantuan kecemasan bukan sahaja kepada negeri ini, malah kepada negeri-negeri lain di luar Pulau Pinang.

Mengulas lanjut mengenai program Jelajah Penang Sihat, Afif berkata, ia merupakan satu inisiatif oleh Kerajaan Negeri untuk menjaga kesihatan serta kesejahteraan rakyat di sini.

“Program ini diharap dapat merapatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan rakyat khususnya di kawasan desa dan taman perumahan.

“Inisiatif seumpama ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat kebajikan dan kesihatan rakyat yang kurang berkemampuan dan kurang peka dengan tahap kesihatan masing-masing,” ujar beliau.

Program jelajah terbabit akan terus diadakan pada setiap bulan di setiap kawasan negeri ini dan bakal bertemu penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk Mei ini.