Mhd. Nasir, Dahalan dilantik semula

GEORGE TOWN – Mhd. Nasir Yahya dan Dahalan Fazil dilantik semula sebagai ahli majlis masing-masing bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkuatkuasa 1 Ogos lalu di sini.

Majlis mengangkat sumpah Mhd. Nasir diadakan di hadapan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini, manakala Dahalan di hadapan Yang di-Pertua (YDP) MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Dewan Kenanga, MPSP, Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT).

Majlis penerimaan jawatan tersebut masingmasing turut disaksikan Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. Ang Aing Thye dan Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud, ahli-ahli majlis dan Ketua-ketua jabatan masing-masing.

Mhd. Nasir ketika ditemui berkata, beliau akan terus menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik.

“Saya akan terus berkhidmat.

“Perhatian sepenuhnya terhadap hal ehwal masyarakat, keselamatan, kebersihan dan sebagainya akan terus diutamakan,” ujarnya kepada pihak media selepas selesainya majlis lantikan semula beliau sebagai Ahli Majlis MBPP di sini baru-baru ini.

Pada 29 Julai lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju sebulat suara untuk melantik semula Mhd. Nasir dan Dahalan yang pada Jun lalu meletak jawatan berkuatkuasa 1 Ogos hingga 31 Disember 2015.