Nizam nekad usaha ternak ayam kampung, perapan resipi keluarga

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

MELIHAT beratus-ratus ekor ayam belaan mati semalaman pernah mematahkan semangat Ahmad Nizam Kassim, 37, untuk terus bergiat di dalam bidang perusahaannya kini.

“Akibat ancaman anjing liar, mereka kira-kira 70 ekor pecah masuk reban… 105 ekor ayam habis mati.

“Penat kita,’’ keluh Ahmad Nizam hampir berputus asa empat tahun lalu.

Pertemuan Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara dengan Ahmad Nizam atau lebih dikenali dengan nama pendeknya, Nizam diatur selepas penulis menemui beliau di Majlis Penyampaian Pinjaman Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) oleh Kerajaan Negeri di Komtar sebelum itu.

Berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perusahaan ayam kampung yang dijalankan, sesi wawancara telah diadakan di kediamannya di Kampung Permatang Pasir, Balik Pulau.

Reban-reban ayam kampung perusahaannya terletak di belakang kediaman tersebut, mengadap bendang dan kebun pisang yang amat luas.

Begitu sejuk mata memandang! Seorang yang amat ceria perwatakannya, sambil membawa ole-ole ayam perapan yang dihasilkannya, Nizam menyatakan bahawa semuanya bermula dengan hobi.

“Saya beli 30 ekor anak dari ‘Pekan Kongsi’ (Balik Pulau). Selepas itu, baru tambah jadi 100 ekor.

“Masa permulaan, disebabkan tiada pengalaman, daripada 30 ekor anak, lima mati disebabkan faktor cuaca dan tidak lengkap vaksin.

“Apabila ayam dah besar, pasaran sangkut pula sebab baru nak cari (pasaran) pada saat-saat akhir.

Ini kerana, tempat-tempat sembelihan (ayam) sudah ada pembekal tetap, dan memang mereka tidak akan ambil sebarangan atau tambahan daripada pembekal lain.

“Akibatnya, kami terpaksa ‘makan’ sendiri ayam-ayam itu,’’ ujarnya ketika berkongsi pengalaman awal dalam bidang berkaitan.

Namun, sebagai alternatif dan jaminan pulangan modal tempoh tersebut, hasil sokongan isteri serta keluarga, Nizam mempelopori inisiatif membuat perapan ayam kampung.

“Kami bermula pada tahun 2015 sebelum bulan Ramadan.

Kumpulan pertama, sebanyak 20 tupperware dipasarkan untuk test market di sekitar Balik Pulau, menerusi Facebook dan whatsapp.

“Alhamdulillah, setakat ini, stok tiap-tiap minggu habis dan saya kena restock 20 bungkus setiap minggu.

“Bagi bekalan ayam, memang saya kena asingkan siap-siap ayam yang untuk diperap dan untuk dijual daging,’’ jelasnya sambil menyatakan bahawa pasarannya kini telah memasuki Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Mengulas lanjut, Nizam memberitahu, berat ayam bagi pasaran daging adalah 1.3 kilogram (kg) hingga 1.6kg, manakala bagi perapan adalah antara 1.2kg hingga 1.3kg ketika timbang hidup.

“Sekiranya berat ayam terlebih atau terkurang, memang ia tidak akan laku di pasaran kini.

“Malah, keistimewaan perapan yang sesuai digoreng dan grill dengan harga pasaran RM20 (satu bekas) hasil keluaran kami adalah ia berasaskan resipi keluarga menggunakan rempah-ratus asli tanpa perisa tambahan, selain bekalan ayam kampung yang segar peliharaan sendiri,’’ ulasnya yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik.

Tambah Nizam, bagi penjualan daging ayam kampung, penghantaran dalam tempoh seminggu kini adalah mencecah 80 hingga 100 ekor.

“Jumlah ini tidak termasuk jualan langsung seperti tempahan daripada rakanrakan, orang kampung, Facebook dan whatsapp. “Tempoh tuaian ayam kampung jenis kacukan dikenali sum sum atau sum sum merah peliharaan saya adalah kira-kira dua setengah bulan hingga tiga bulan berbanding yang asli (ayam kampung biasa), yang memerlukan tempoh enam bulan,’’ katanya sambil menjelaskan sebab jenis kacukan tersebut dipilih untuk diusahakan.

Ketika diminta mengulas mengenai pinjaman mikro kredit TUTM yang diterima, Nizam menyatakan bahawa beliau bercadang untuk menggunakan ia untuk menambah bekalan anak ayam, ubah suai reban dan membuat reka bentuk pembungkusan ayam perapannya.

“Saya bersyukur, selepas kira-kira setahun pohon, saya dapat pinjaman ini.

“Saya akan mula dengan modal ubah suai reban baru dan pada masa sama memperbaiki serta mencantikkan reka bentuk pembungkusan ayam perapan dan kemungkinan menggunakan plastik pula,’’ ujarnya.

Sebelum mengakhiri sesi temubual, Nizam menyatakan bahawa bagi mereka yang berminat, boleh menceburi bidang berkenaan kerana permintaan sentiasa ada, terutamanya pada musim-musim perayaan.

“Cuma apa yang penting adalah tidak mudah putus asa, rajin dan komited,’’ jelasnya sambil tersenyum ditemani anak bongsu,

Ahmad Adam, 5, yang selalu membantu beliau menangkap ayam untuk dijual serta mencuci reban sekiranya perlu.

INFO: No. Tel. : 012 – 545 4004 / 012 – 507 7004


Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives