“AES, terima kasih Kerajaan Negeri sebab bantu keluarga kami”

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

MOHD. IBRAHIM NAINA, 52, hilang pekerjaan kerana penglihatannya tidak begitu elok, selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya tidak lama dahulu.

Akibat kerja yang tidak menentu, isterinya kini terpaksa menyara keluarga, termasuk empat anak di Kampung Melayu, Air Itam.

Mohd. Ibrahim mengakui bahawa sudah lama mengetahui Kerajaan Negeri hari ini menyediakan Agenda Ekonomi Saksama (AES). Tetapi, beliau memberitahu, keadaannya kini menyebabkan beberapa kali hasrat untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri tertangguh.

“Mujurlah ada pegawai kerajaan yang datang menguruskan hal permohonan saya, dan saya layak menerima bantuan bulanan RM250,” jelasnya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan AES Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam baru-baru ini.

V. Kamala Veni, 58, adalah pesakit kanser. Suaminya uzur, namun, tetap mengambil upah memotong rumput jika diminta.

Pendapatan yang tidak menentu walaupun sedikit sebenarnya penting untuk keduadua pasangan tersebut, bagi memelihara tiga cucu yang tinggal bersama-sama mereka di Kampung Pisang, Air Itam.

Selepas memohon AES, Kamala Veni dinilai layak menerima RM430 sebulan. Dan, berita gembira itu disampaikan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai.

Fatimah Bee Baba Azahar, 35, yang ditemui kemudian melahirkan rasa syukur kerana diumumkan layak menerima RM550 sebulan di bawah skim AES ini.

Ibu kepada empat anak tersebut memberitahu, selama ini beliau bergantung hidup dengan mengambil upah menjaga anak seorang kenalan, di rumahnya dekat Desa Mawar.

“Saya cuma boleh sebut ‘Terima Kasih Kerajaan Negeri’ sebab bantu keluarga kami,” jelasnya dalam nada sebak bercampur gembira.

Melalui AES, menurut Hon Wai, Kerajaan Negeri mahu memastikan pendapatan isi rumah adalah melepasi paras garis kemiskinan (PGK) yang diumumkan di negeri ini.

“Sebab itu, ada penerima bantuan AES mendapat bantuan RM250 atau RM430 atau RM550, kerana Kerajaan Negeri melalui skim bantuan ini akan mencukupkan pendapatan isi rumah bulanan keluarga berdaftar (mengikut syarat ditetapkan) dengan kadar top up minimum adalah RM100.

“Pada kali pertama, penerima akan diberi wang bantuan AES dalam bentuk tunai, dan pada bulan-bulan berikutnya akan disalurkan melalui bank,” jelasnya yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri.

Penghulu Daerah Timur Laut, Saad Khalid yang menyelia komuniti bagi Air Itam dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban serta pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat turut sertai majlis ringkas tersebut.

Rujuk senarai di bawah untuk pecahan mengikut daerah dan kos perbelanjaan berhubung pelaksanaan program AES sejak 2009 hingga Mac 2017.

Pelaksanaan Program AES sejak 2009 hingga Mac 2017

  1. Daerah TIMUR LAUT          –     134 penerima   (RM1,186,140)
  2. Daerah BARAT DAYA           –     162 penerima    (RM3,701,630)
  3. Daerah SEBERANG PERAI UTARA           –     694 penerima    (RM11,869,174)
  4. Daerah SEBERANG PERAI TENGAH           –     228 penerima   (RM4,146,993)
  5. Daerah SEBERANG PERAI SELATAN           –     193 penerima    (RM2,312,031)

  JUMLAH           –     1,411 (Penerima Aktif)     (RM23,215,968)

*Sumber : Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.