P. Ramlee sejuta jiwa, seribu watak – Salleh Man

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Kritikan sosial Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui hasilan karyakaryanya yang dianggap terus hidup sampai sekarang mungkin salah satu punca jiwa seniman agung itu tidak mati dimamah zaman.

Timbalan Pengarah Lembaga Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Datuk Mohd. Salleh Man berkata demikian pada perasmian Majlis Tan Sri P. Ramlee Dalam Kenangan dekat Perpustakaan Negeri di sini baru-baru ini.

“Nak mencari seorang seniman sejuta jiwa seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sangat sukar kerana wataknya walaupun dalam filem, seakan terus hidup dan mengkritik sosial masyarakat kita sehingga hari ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pengarah PPAPP, Datuk Dr. Anuar Hamid turut berucap pada majlis perasmian itu.

Hadir sama, Pengerusi Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang (KPPRPP) merangkap Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff, Siri Neng Buah (budayawan yang juga dikenali sebagai Tok Dalang wayang kulit Siam Kelantan), Dr. Mahyuddin Ahmad (Ahli Akademik dari Universiti Sains Malaysia, USM) dan penulis terkenal, Hasan Baseri Budiman.

Mohd. Yussof pada Sesi Bual Bicara turut menganggap P. Ramlee sebagai ‘seniman sejuta jiwa’, sebagaimana diungkapkan Mohd. Salleh.

“Saya juga cukup hairan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini mempunyai sejuta jiwa seribu watak yang sehingga hari ini kita merasai beliau masih hidup jika menonton filem-filemnya.

“Kalau dia masih hidup pada ketika ini, dia kena tiup 85 batang lilin pada kek (kerana usianya 85 tahun),” cuit beliau sambil menceritakan mengenai watak P. Ramlee.

Mohd. Yussof turut mencadangkan P. Ramlee dimahsyurkan sebagai Tokoh Perpaduan Nasional memandangkan mesej-mesej perpaduan antara kaum sangat jelas dibawa dalam filem-filem hasilan seniman agung tersebut.

Manakala, Siri Neng Buah pula mendedahkan bahawa kebanyakan dipaparkan dalam filem P. Ramlee itu adalah watak sebenar yang hidup pada zamannya.

Persembahan Drama Sebabak Filem Tan Sri P. Ramlee, nyanyian lagu-lagu hasilan P, Ramlee serta pertandingan mewarna melibatkan kanak-kanak merupakan antara acara samping menarik sepanjang majlis memperingati seniman agung kelahiran Pulau Pinang itu.