Paramit kukuhkan pelaburan negeri, buka ‘industri dalam rimba’ 16 juta Dolar A

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BUKIT TAMBUN – Bagaikan makmal perubatan dalam hutan rimba, bangunan baharu industri pembuatan peranti perubatan, Paramit Malaysia Sdn. Bhd. (Paramit) yang secara rasmi dibuka baru-baru ini, dengan kos pembangunan pelaburan awal sejumlah USD$16 juta.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu bahawa syarikat berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) tersebut sebenarnya sejak lima tahun lepas melabur kira-kira USD$40 juta, dengan nilai eksport bagi rancangan pembangunan jangka panjang sejumlah 250 juta AS Dolar.

“Paramit mahu memanfaatkan pertumbuhan dua kali ganda hasil eksport alat peranti perubatan yang diperbuat di Malaysia pada tahun lepas, bernilai dalam lingkungan RM17.8 bilion.

“Operasi Piramit di Pulau Pinang diharap akan menonjolkan lagi potensi Malaysia dalam peta pelaburan dunia, bagi bidang ujian genetik dan molekul, pembedahan robotik serta perawatan sakit barah.

“Ini adalah kilang dalam hutan yang paling hijau di Malaysia…pastinya suatu penghargaan kepada Amerika Syarikat (AS) kerana syarikat ini terus mengekalkan pelaburan di negeri ini,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Industri Paramit dekat Taman Perindustrian Bukit Minyak, Batu Kawan di sini.

Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif Paramit Corporation, Billoo Rataul dan Ahli Lembaga firma itu, Carl Chun. Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani, Edgard D. Kagan (Timbalan Ketua Duta Amerika Syarikat Ke Kuala Lumpur), Dato’ Maimunah Mohd. Shariff (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP), Dato’ Seri Lee Kah Choon (Penasihat Khas Ekonomi Kepada Ketua Menteri di InvestPenang), Azhana Mohamed Saleh (Pengarah Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia, MIDA), Datuk Dr. Ooi Eng Hock (Persekutuan Pengusaha-Pengusaha Kilang Malaysia, FMM) dan beberapa tetamu kenamaan lain.

Menurut Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam, dalam tempoh lapan tahun antara 2008 hingga 2015, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan sebanyak RM55 bilion, dengan meningkat 90 peratus berbanding RM29 bilion yang diraih dalam tempoh sama tempoh sebelum itu mulai 2000 hingga 2007.

Daripada angka RM55 bilion itu, beliau menyatakan bahawa RM13.7 bilion atau 25 peratus adalah daripada pelabur AS, sekaligus menjadikan negara tersebut sebagai penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) terbesar ke negeri ini.

“Meskipun persekitaran ekonomi global yang mencabar, Pulau Pinang telah mencatatkan pelaburan yang kukuh lebih daripada lapan tahun lepas.

“Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2016, AS adalah yang ketiga terbesar penyumbang pembuatan FDI ke Pulau Pinang, dengan FDI berjumlah RM390. 3juta,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Difahamkan, Paramit Corporation diasaskan oleh Billoo Rataul pada tahun 1988 di Morgan Hill, California dekat Selatan Silicon Valley Amerika Syarikat.

Kini, Billoo Rataul mengembangkan ‘industri dalam rimba’ pertama di Pulau Pinang dengan barisan pemaju industri berpengalaman dalam bidang industri persekitaran antarabangsa dari Belgium, Amerika Syarikat, Mexico, Hong Kong, Austria, Perancis dan Jerman.

Di ‘industri dalam rimba’ Piramit ini terdiri oleh 1,500 anak pokok pelbagai jenis yang mengindahkan serta menyamankan udara persekitaran luar dan dalam bangunan kilang di sini.}