Pasar Bayan Baru sebagai pasar digital pertama

Admin

BAYAN BARU – Kompleks Pasar Awam Bayan Baru di sini dipilih sebagai pasar digital pertama di wilayah utara, umum Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin.

Menurutnya, inisiatif terbaru itu adalah kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama-sama dengan sektor swasta iaitu PasarTap.

“Ini menandakan era baru bagi kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PasarTap.com ke arah perniagaan digital.

“Pasar Awam Bayan Baru dipilih kerana ia mempunyai potensi cukup besar bukan sahaja kerana kawasannya yang luas, malah peniaga di sini juga ramai dan mempunyai penduduk padat yang mana majoritinya adalah golongan bekerja,” jelasnya pada Majlis Pelancaran Pasar Digital Ke Arah Bandar Antarabangsa di sini 28 Mac lalu.

Turut berucap, mantan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Mengulas lanjut, menurut Afif, inisiatif tersebut juga merupakan platform yang sangat baik dan mampu memberi manfaat kepada pengguna serta peniaga di kawasan berkenaan.

“Dengan adanya PasarTap ini, ia secara tidak langsung akan memudahkan para pengguna antaranya, mengurangkan kos perbelanjaan petrol dan mengatasi masalah parkir. Ini kerana pengguna boleh membeli barangan keperluan tanpa perlu ke pasar, sebaliknya hanya perlu memesan melalui laman sesawang iaitu PasarTap.com.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan potensi perniagaan kerana bilangan pelanggan akan bertambah melalui platform ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi PasarTap.com, Hafsham Harasid berkata, pasaran digital adalah konsep baru dalam pemasaran dan platform yang baik untuk melakukan pembelian menggunakan komputer atau telefon pintar.

“Melalui perkhidmatan ini, penghantaran pesanan ke rumah biasanya akan mengambil masa 3 jam selepas tempahan dibuat dan caj penghantaran adalah bergantung kepada ejen terpilih.

“Kami berharap 23 peniaga yang menyertai platform ini mampu bergerak seriring dengan syarikat kami untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di kawasan Bayan Baru, Jelutong dan George Town,” ujarnya.