Taman Poket Tepi Pantai jangka siap Disember

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

TANJUNG BUNGAH – Penduduk di sekitar kawasan Tanjung Bungah dan Tanjung Tokong bakal mempunyai sebuah lagi taman riadah dikenali, Taman Poket Tepi Laut atau Seaside Pocket Park menjelang Disember 2018.

Menurut mantan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, projek dekat tapak seluas dua ekar yang terletak di atas tanah kerajaan Jalan Tanjung Bungah itu akan menelan kos RM500,000.

“Visi reka bentuk Taman Poket Tepi Laut ini adalah untuk mewujudkan sebuah taman riadah tepi pantai dalam mempromosikan pembangunan mampan dan memberi akses kepada penduduk setempat menikmati keindahan alam semula jadi di sini.

“Taman poket ini dijangka akan mengambil masa sehingga 16 minggu untuk siap dengan dijangka siap menjelang Disember ini.

“(Dan) Perbadanan Ketua Menteri (CMI) akan menguruskan projek ini, manakala BETA Architect telah dilantik sebagai perunding projek dalam menyediakan konsep dan reka bentuk,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Projek Taman Poket Tepi Laut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Pengurus Besar CMI, S. Bharathi.

Terletak bersebelahan Lot 4658, Jalan Tanjung Bungah, taman poket berkenaan mengambil aspirasi taman semula jadi yang membolehkan pengunjung menikmati alam semula jadi di samping menghubungkan manusia dengan alam sekeliling.

Apabila siap kelak, taman ini akan dilengkapi dengan laluan pejalan kaki, dek rehat dan landskap yang menyegarkan.