Pulau Pinang tempa nama dalam Guinness World Record sempena PIFF ’18

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & SUNARTI YUSOFF
Gambar : ARKIB BULETIN MUTIARA & PIFF

BUKIT TAMBUN – Pulau Pinang memecahkan rekod dunia sekaligus memperbaharui rekod dalam Guinness World Record bagi ‘Largest Food Truck Rally in the World’ (atau Rali Kendera Saji Terbesar di Dunia) dalam penganjuran Food Truck Invasion (FTI) sempena penganjuran pesta makanan terbesar, Penang International Food Festival 2018 (PIFF ’18) pada 28 April lalu.

Sebanyak 158 kendera saji atau trak makanan dikira layak untuk memecahkan rekod terdahulu bagi kategori sama yang diadakan di Saitama, Jepun dengan 123 kendera saji mengambil bahagian.

Mantan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, penganjuran PIFF secara umumnya merupakan suatu pengiktirafan dan keraian untuk meraikan ‘pahlawan’ makanan di Pulau Pinang.

“Pahlawan-pahlawan (tukang masak dan penjaja makanan) inilah yang menjadikan Pulau Pinang istimewa…yang membolehkan Pulau Pinang diiktiraf dengan pelbagai pencapaian.

“Antaranya, penyenaraian Pulau Pinang dalam senarai Culture Trip sebagai ’15 Bandar Syurga Makanan Terbaik di Dunia’ dan penyenaraian laksa asam dalam CNN Travel’s ‘World’s 50 Best Foods’.

“Silang budaya dalam penyediaan makanan membolehkan Pulau Pinang tertera dalam peta dunia kulinari yang membawa pelancong dari seluruh pelosok negara untuk merasai keenakan makanan di negeri ini,” ujarnya pada pembukaan FTI di Design Village Outlet Mall dekat Batu Kawan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT), Ooi Chok Yan dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod.

Ketika merasmikan pembukaan PIFF ’18 dekat Lebuh Pantai pada 14 April lalu, Guan Eng berharap penganjurannya bukan sahaja memberikan impak positif kepada peniaga makanan dan minuman yang mengambil bahagian, malah juga memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan para pengunjung.

“Menerusi PIFF, saya yakin anda akan kembali ke Pulau Pinang untuk merasai keenakan makanan di negeri ini lagi,” katanya yang turut meraikan 119 penjaja kecil yang mengambil bahagian.

Difahamkan, Pulau Pinang menempa nama dalam Guinness World Records dua kali dalam tempoh tujuh bulan,

Kali pertama adalah pada Penang Street Food Festival, 2 September 2017 melalui

‘The Most Costume Change in One Minute’ oleh Avery Chin dan Sylvia Lim, dua individu berbakat besar yang berjaya menukar 24 pasang baju dalam masa seminit. Dan kali kedua melalui FTI yang mana kedua-duanya ditempa di Seberang Perai.

Sepanjang 16 hari penganjuran PIFF ’18, lebih 700,000 penganjung dicatatkan bagi penganjuran tiga festival utama iaitu Street Food Festival pada 14-15 April, Taste of Penang (21-22 April) dan FTI (28-29 April). Enam mini festival lain yang diadakan di bahagian pulau dan Seberang Perai turut mendapat sambutan lebih daripada 25,000 pengunjung, antaranya Kopi ‘O’, Thirsty Thursday, Meatless Monday, Mini Curry Festival, Crispy Fryday dan RM2 Mini Food Festival.