Penstrukturan syarikat multinasional global ubah kondisi pelaburan negeri, respons iP

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : CHAN LILIAN

BAYAN LEPAS – Penstrukturan semula operasi syarikat multinasional dari antarabangsa di Pulau Pinang ekoran perubahan persekitaran ekonomi dunia bukanlah gambaran sebenar bahawa pelaburan ke negeri ini “muram”.

Pengarah investPenang (iP), Datuk Lee Kah Choon berkata demikian sebagai reaksi pada pelbagai spekulasi di talian dan media yang menggambarkan pelaburan mulai meninggalkan Pulau Pinang, hingga mengakibatkan peluang pekerjaan kian menguncup belakangan ini.

“Dalam industri dan perniagaan hari ini, langkah penggabungan dan pengambilalihan biasanya dijalankan (oleh syarikat multinasional) bukan sahaja bertujuan untuk menyatukan operasi, malah juga atas sebabsebab lain seperti peningkatan dalam perkongsian pasaran serta kuasa teknologi.

“Ini, yang sedang berlaku dalam syarikat-syarikat teknologi semikonduktor dan E&E (Elektoronik dan Elektrik) di peringkat global, dan Pulau Pinang sebagai hub elektronik dengan (permukiman) begitu banyak syarikat antarabangsa biasanya turut menerima kesan,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Kah Choon, dalam setengah tahun pertama 2015 sahaja, M&A (Mergers & Acquisitions) diumumkan sebanyak AS$72.6 bilion.

Angka itu lebih empat kali ganda nilai Penggabungan & Pemerolehan (M7A) yang dilaporkan pada tahun fiskal 2014.

“3 M&A utama termasuk, AS$37 bilion pengambilalihan Broadcom oleh Avago, AS$16.7 bilion pengambilalihan Altera oleh Intel dan AS$11.8 bilion pengambilalihan NXP Semiconductor oleh Freescale,” jelas beliau sambil menyatakan bahawa perubahan kondisi pelaburan di Pulau Pinang adalah berpunca oleh penstrukturan semula beberapa syarikat antarabangsa di peringkat global.

Untuk lebih jelas mengenai kondisi pelaburan di Pulau Pinang, Kah Choon memberitahu bahawa lima syarikat multinasional mengumumkan langkah M&A baru-baru ini.

Sebagai contoh, katanya, AMD melakukan usahasama dengan Nantong Fujitsu Microelectronic Co. dengan 85 peratus perkongsian di kilang pengeluaran AMD di Pulau Pinang dan kilangnya Suzhou dekat China telah dijual kepada Nantong Fujitsu Microelectronics tunai AS$371 juta, dengan AMD memegang 15 peratus kepentingan.

“Tapak pembuatan di Pulau Pinang akan kekal beroperasi dan usaha sama adalah langkah terbaru dalam transformasi strategik AMD untuk mengasah lagi fokus dan operasi pada bentuk produk berprestasi tinggi.

“Syarikat itu mengumumkan bahawa ‘tiada pengurangan tenaga kerja yang dirancang di industri AMD dekat Pulau Pinang’,” ujarnya sambil memberitahu bahawa rundingan kedua-dua pihak dijangka selesai pada pertengahan tahun depan.

Satu lagi contoh, kata beliau adalah langkah Sanmima Corp. mengambil alih kilang pengeluaran Motorola Solutions di Bayan Lepas.

Motorola di Bangunan Technoplex akan memberi tumpuan pada bidang Penyelidikan & Pembangunan (R&D), manakala kilangnya akan diambil alih oleh Sanmina Corp. selaku pembekal perkhidmatan pembuatan terkemuka.

“Komitmen jualan Motorola sebenarnya tidak berubah di Malaysia, malah, membolehkan Motorola Solutions memberikan perkhidmatan tahap terbaik kepada rakan-rakan dan pelanggan,” katanya memetik laporan berita sebuah akhbar tempatan pada 14 Oktober lalu.

Tambah Kah Choon, rundingan kedua-dua pihak yang dijangka akan dimuktamadkan pada awal tahun depan hanya akan melibatkan proses pemindahan pekerja dari Motorola kepada Sanmina (Corp.), bukan “mengurangkan” bilangan pekerja.

Contoh lain, tambahnya, adalah pengumuman Western Digital pada 21 Oktober lalu untuk mengambil alih SanDisk dengan saham dan tunai sejumlah AS$19 bilion.

Mengulas lanjut, Kah Choon memberitahu bahawa perjanjian itu dijadualkan ditutup pada Suku Tahun Ketiga 2016, yang membabitkan 1,042 pekerja di SanDisk Pulau Pinang.

Syarikat Amphenol turut akan menutup salah satu pusat operasinya di Pulau Pinang demi menstrukturkan kemudahan mudah alih pengguna di Asia Pasifik.

“Seramai 150 pekerja akan terjejas…syarikat akan meneruskan operasi menghasilkan penyambung kelajuan tinggi (high speed connectors) dalam dua racangan perindustrian lain di Pulau Pinang, dengan keperluan 800 kakitangan,” jelasnya.

“Begitu juga dengan EMC pada 12 Oktober lalu mengumumkan untuk mengambil alih Dell dengan nilai AS$67 bilion demi mengembangkan syarikat multinasional tersebut di lokasi-lokasi yang paling relevan untuk pemasaran IT (informasi teknologi).

“Hanya 150 pekerja di Pulau Pinang terjejas…kerja-kerja M&A memang dilakukan, tetapi, tida ada berita mengenai penutupan (Dell) setakat ini.

“Pergerakan korporat akan memberi kesan kepada Pulau Pinang, sebagai tuan rumah kepada banyak syarikat multinasional, dan juga negeri-negeri lain di Malaysia “(Bagaimanapun), di Pulau Pinang, pelaburan dalam sektor pembuatan kekal teguh.

“Baru-baru ini, Jinko Solar serta JA Solar, kedua-dua syarikat multinasional China mula beroperasi di Pulau Pinang dengan menawarkan sejumlah 1,900 peluang pekerjaan.

“HP kini sedang membina kilang mereka di Batu Kawan dan akan mengambil 1,000 kakitangan apabila beroperasi sepenuhnya.

“Secara keseluruhan, menurut MIDA, sebanyak 17,896 pekerjaan baru akan diwujudkan di Pulau Pinang melalui pelaburan yang diluluskan pada tahun 2014 dan 13,199 pekerjaan baru melalui pelaburan yang diluluskan dalam separuh tahun pertama 2015,” ujar beliau.

Itu, menurut Kah Choon, belum mengambil kira sektor perkhidmatan, terutamanya Perkhidmatan Perniagaan Global dan Shared Services Outsourcing (SSO) yang terus menawarkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“HP baru-baru ini memulakan pusat kewangan di PDC Technoplex, lain-lain termasuk pusat GBS Osram yang menawarkan (peluang pekerjaan kepada) 150 kakitangan, manakala, Jurong Engineering Design Center dengan 200 kakitangan,” katanya.

Pulau Pinang direkodkan berjaya menarik RM48.2 bilion pelaburan mulai 2008 hingga 2014, iaitu 93 peratus lebih tinggi berbanding hanya RM24.9 bilion yang dilaburkan dalam tempoh sama selama enam tahun, mulai 2001 hingga 2007.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);