Penyertaan Anugerah Sekolah Hijau 2014 dibuka

GEORGE TOWN – Selain pelajar, pengusaha-pengusaha kantin juga boleh sama-sama menyumbang dalam usaha memelihara alam sekitar dengan memproses sisa-sisa bahan makanan untuk dijadikan baja.

Seruan tersebut dinyatakan Setiausaha Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye ketika melancarkan Anugerah Sekolah Hijau 2014 peringkat bahagian pulau di sini baru-baru ini.

Katanya, program tersebut adalah satu pendekatan holistik bagi memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah mengenai pentingnya menghargai alam sekitar.

“Malah, selain pelajar, pengusaha-pengusaha kantin boleh sama – sama menyumbang ke arah tersebut bagi membantu Majlis menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal,” ujar beliau.

Hadir sama, wakil Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, Sufian Jul Mohamad, Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Pulau Pinang, Roslin Md. Lazim dan Ahli-ahli Majlis MPPP.

Program tersebut bakal dinilai berasaskan kriteria utama seperti kitar semula, inovasi serta kreativiti, kebersihan, penghijauan dan
penglibatan komuniti.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 April 2014 dan sebarang pertanyaan serta khidmat nasihat boleh emailkan kepada [email protected] atau [email protected].

Bagi maklumat lanjut, hubungi talian 04 – 259 2124 atau 04 – 263 7000.