Wanita wajar dilindungi, disayangi serta dihormati – Rashid

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEORGE TOWN– Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng menyarankan golongan wanita supaya sentiasa membuka minda dan merebut peluang menggembleng tenaga bersama kaum lelaki.

“Ia menepati agenda pembangunan negara dan seiring dengan tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa iaitu ‘Kesaksamaan Wanita adalah Kemajuan untuk Semua’ yang dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk tahun ini,” ucapnya pada Sambutan Hari Wanita Sedunia 2014 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian sambutan tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Turut serta, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Ahli Parlimen Batu Kawan, P.
Kasthuriraani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Abu Jamal Nordin dan barisan Pegawai Penyelaras Kawasan ADUN.

Menurut Chong Eng, aspek kesamarataan yang diberikan mampu merubah peranan wanita sama ada dalam aspek pentadbiran mahupun sosial.

“Sungguhpun begitu, tiada masyarakat yang boleh bercakap dengan megah tentang kemajuan sekiranya wanitanya terus didiskriminasikan dalam pelbagai bentuk.

“Salah satunya ialah keganasan terhadap wanita, sama ada melalui perogolan, penderaan mahupun menidakkan hak wanita dalam
pekerjaan dan sebagainya,” katanya.

Jelas beliau, isu keganasan terhadap wanita bukan sahaja melanggar hak asasi wanita tetapi juga menjadi krisis awam.

Oleh itu, Chong Eng memberitahu bahawa dalam memberi kesedaran kepada umum, tema sambutan bagi negeri Pulau Pinang tahun ini adalah ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’.

“Kita berdiri dalam solidariti dengan wanita dan lelaki bertekad untuk menamatkan keganasan terhadap wanita.

“Kita tekad untuk meneruskan usaha ini sehingga kita mampu berbangga menyatakan bahawa kita adalah negara maju yang memperjuangkan hak-hak wanita,” ujarnya di hadapan kira-kira 1,000 pengunjung yang hadir memeriahkan Sambutan Hari Wanita di sini.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapan perasmiannya menyeru semua pihak berusaha mewujudkan persekitaran yang selamat serta bebas dari sebarang bentuk penderaan, penganiayaan dan keganasan bagi wanita.

“Wanita wajar dilindungi, disayangi serta dihormati dan bukannya diperlakukan dengan ganas, disakiti dan dihina.

“Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap apa yang berlaku kepada golongan wanita dan pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam usaha memperdayakan wanita serta menggalakkan persekitaran yang progresif dan mampu merealisasikan potensi tanpa sebarang halangan,” ujar beliau.

Sambutan Hari Wanita Sedunia 2014 Peringkat Negeri Pulau Pinang dianjurkan bersama MPPP, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), J C I Pearl, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan NGO, Penang Amateur Athletic Association (PAAA).

Selain mengadakan bengkel dan persembahan interaktif, turut mencuri tumpuan adalah acara Larian Wanita JCI Pearl yang disertai kira-kira 300 peserta serta persembahan seni mempertahankan diri.