Projek Workers Village ditawar secara tender terbuka

GEORGE TOWNWorkers Village atau ‘Perkampungan Pekerja’ untuk pekerja tempatan dan buruh asing boleh dipertimbang demi mengatasi masalah pekerja tempatan serta buruh asing yang tidak ada penginapan sesuai supaya tidak mengganggu ketenteraman penduduk setempat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberi respons pada sesi soal jawab lisan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

“Namun demikian, syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. akhirnya tidak berjaya dalam tender terbuka untuk membeli tanah tersebut kerana tidak mematuhi syarat RFP (Permohonan Kertas Cadangan), bukan seperti mana yang didakwa oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

“Ini membuktikan sistem tender terbuka berfungsi di Pulau Pinang berdasarkan sebut harga tawaran paling tinggi,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih memberitahu bahawa projek ‘Perkampungan Pekerja’ untuk pekerja tempatan dan buruh asing akhirnya ditawarkan kepada Westlite Dormitory (Penang-Juru) Sdn. Bhd. secara tender terbuka kerana syarikat itu menawarkan sebut harga paling tinggi.

Tambah beliau, hanya sekeping tanah di Juru yang ditenderkan, sedangkan tender di Batu Kawan tidak diteruskan.

“Bantahan penduduk terhadap projek pembangunan perkampungan pekerja asing di Juru yang akan dibangunkan oleh syarikat Westlite Dormitory (Penang-Juru) Sdn. Bhd. telah dibuat melalui JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) Bukit Minyak, JKKK Perkampungan Juru dan tujuh individu lain,” responsnya.

Dalam sidang media berasingan, Guan Eng mengumumkan langkah mengezon ‘Perkampungan Pekerja’ di suatu Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun akan ditangguhkan serta-merta, sehingga proses pendengaran awam selesai.

Katanya, langkah itu susulan syor ADUN Bukit Tambun, Dato’ Law Choo Kiang yang juga Yang di-Pertua Dewan di sini.

Mengulas lanjut, menurut Guan Eng, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) meluluskan pengezonan di kawasan tersebut sebelum ini, kerana pihak pemohon telahpun memenuhi garis panduan yang ditetapkan.

}