Puspanita Negeri sumbang bantuan pembangunan pendidikan

Admin

GEORGE TOWN – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) cawangan Negeri Pulau Pinang menyampaikan sumbangan RM12,000 kepada empat institusi pendidikan terpilih di sini baru-baru ini.

Pengerusi Puspanita cawangan Negeri Pulau Pinang, Datin Hamidah Mat Daud berkata, sumbangan tersebut diagihkan kepada institusi-institusi berkenaan ekoran ia beroperasi dengan sumber kewangan sumbangan daripada orang ramai.

“Diharap sumbangan masing-masing bernilai RM3,000 ini dapat meringankan bebanan kewangan ditanggung dan sekaligus membantu pihak terbabit dalam pembangunan pendidikan.

“Ini (sumbangan) adalah sekaligus mendokong program Transformasi Sistem Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025,” ucapnya pada Majlis Lawatan Turun Padang Yang di-Pertua (YDP) Puspanita Kebangsaan ke Puspanita Cawangan Negeri Pulau Pinang Tahun 2014 di sini baru-baru ini.

Antara institusi pendidikan terpilih yang menerima sumbangan ialah Sekolah Sinar Harapan (sekolah khas untuk kanak-kanak yang mengalami kecelaruan perkembangan saraf, cerebral palsy, autism dan lembam), Madrasah Irshad al-Ashraf al-Wataniah, Ma’ahad Tahfiz al-Quran Kusyfu al-Ulum dan Ma’ahad Tahfiz Sirajul Quran.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan, YDP Puspanita Kebangsaan, Puan Sri Datuk Rohani Abdullah yang juga isteri kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dalam siri kunjungan Puspanita Kebangsaan, di sini.

Dalam majlis sama, Puspanita turut menyampaikan sumbangan ketuhar pembakar dan RM1,000 kepada dua ibu tunggal terpilih, Rohayah Abdul Manaf (cacat penglihatan) dan Che Wan Abdul Wahab (hilang keupayaan berjalan).

Selain itu, sumbangan kerusi roda dan walking frame turut disumbangkan kepada Puspanita Negeri untuk ditempatkan di Rumah Puspanita, Puspa Home di Jalan Masjid Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus yang juga Penasihat Puspanita Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait turut serta dalam majlis tersebut.