Semarakkan keharmonian penduduk desa, tolak fahaman asabiyah – ADUN

SEBERANG JAYA – Lebih 200 penduduk Kampung Taman Baru menyertai penganjuran Program Permatang Pauh Sihat bersama-sama Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin di sini baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita, Afif mahu program seumpama itu dilaksanakan pada semua peringkat kampung dan desa demi menyemarakkan keharmonian komuniti, di samping menolak fahaman politik asabiyah yang ditiup oleh pihak pembangkang Pulau Pinang.

“Dengan adanya program sebegini, ia dapat melahirkan masyarakat yang sihat.

“Sesungguhnya (Program Permatang Pauh Sihat) ini merupakan platform terbaik untuk mendekatkan hubungan dengan pemimpin,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada majlis berkaitan.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin serta ADUN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha turut sertai acara komuniti tersebut.

Senam robik, pemeriksaan kesihatan secara percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak dan latihan asas pertolongan cemas merupakan antara acara menarik sepanjang berlangsungnya program tersebut.

Dalam perkembangan lain, Afif turut menggesa semua pihak supaya menganjurkan program kesedaran serta amalan membersihkan kawasan halaman kediaman masing-masing untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes.