Serambi PI: 1BestariNet

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute

 

Tuan pengerusi,

LAPORAN Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen berhubung perkhidmatan penuh kontroversi 1BestariNet yang dibentangkan dalam mesyuarat kali ini telah mengesahkan hampir kesemua kekhuatiran yang telah saya bangkitkan selama ini mengenai ketempangan dan kepincangan dalam pelaksanaan projek tersebut.

Antara penemuan mengejutkan adalah kegagalan untuk mendapat kelulusan teknikal daripada Jawatankuasa Teknikal ICT MAMPU yang telah mencadangkan agar mengasingkan pembangunan infrastruktur dari pembangunan pengisian (content). Sebaliknya, projek 1BestariNet telah mencantumkan kedua-dua komponen tersebut.

Di samping itu, Kementerian Pendidikan juga gagal melaksanakan proses pengurusan nilai (value management) yang wajib dilakukan untuk semua projek bernilai RM50 juta dan ke atas, sepertimana ditetapkan oleh pekeliling EPU bertarikh 29 Disember 2009. Alasan yang diberikan oleh Kementerian, iaitu bahawa pegawai-pegawainya tidak sedar kewujudan pekeliling berkenaan, langsung tidak boleh diterima dan telah ditolak sama sekali oleh PAC.

PAC juga mengesyorkan agar Jabatan Audit Negara melakukan audit susulan secara keseluruhan di samping melaksanakan kajian keberkesanan terhadap pelaksanaan 1BestariNet ini. Saya harap pengauditan dan kajian ini akan dilakukan dengan segera agar tidak membazirkan lebih banyak lagi duit dan menjejaskan prestasi pengajaran dan pembelajaran guru dan murid.

Salah urus kontrak yang ketara

Tuan pengerusi,

Kebanyakan masalah yang berbangkit berpunca daripada salah urus kontrak (contract mismanagement) yang ketara. Salah satu contoh jelas adalah pendedahan laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2013 berkenaan pemasangan menara telekomunikasi 1BRIS (1Bestarinet Receiver Integrated System).

Menara-menara ini banyak mengundang kontroversi kerana ia berfungsi untuk memancarkan isyarat tanpa wayar bukan sahaja ke dalam perkarangan sekolah tetapi juga di kawasan sekeliling. Ini menimbulkan persoalan sama ada menara-menara ini juga digunakan untuk perkhidmatan komersial YES 4G oleh kontraktor 1BestariNet, iaitu syarikat YTL. Jika benar, maka ada kemungkinan besar bahawa projek ini sebenarnya membiayai pengembangan rangkaian YES 4G secara meluas di setiap pelusuk negara, kerana ia melibatkan pembinaan infrastruktur telekomunikasi di beriburibu sekolah. Walaupun penggunaan menara 1BRIS bagi tujuan komersial telah dinafikan oleh pegawaipegawai Kementerian dalam prosiding PAC, YTL sendiri pernah mengakui dalam laporan media bahawa penggunaannya tidak terhad kepada kawasan sekolah.

Tambahan kepada itu, terdapat kelompangan kontrak berkenaan dengan kadar sewaan bagi penggunaan premis sekolah untuk pemasangan menara 1BRIS. Berdasarkan penemuan audit, Kementerian pada bulan Februari 2012 telah bersetuju untuk membenarkan YTL memasang menara 1BRIS di sekolah-sekolah dengan kadar sewaan yang ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Ekoran daripada itu, JPPH mengesyorkan sewa bulanan sebanyak RM1,200 sebulan atau RM14,400 setahun bagi setiap tapak 1BRIS. YTL pada mulanya enggan membayar jumlah tersebut dan setelah berunding dengan Kementerian, kadar sewaan telah diturunkan kepada hanya RM1,000 setapak setahun. Namun akibat salah komunikasi, Kementerian telah menuntut bayaran RM1,000 setahun untuk semua tapak 1BRIS. Apabila disoal oleh audit, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan menjelaskan bahawa kadar sewaan itu adalah untuk setiap tapak dan bukan kesemua tapak seperti yang ditafsir oleh Kementerian. Pada tahun 2014, bayaran tunggakan sewa telah dituntut daripada YTL, tetapi syarikat tersebut membuat rayuan agar kadar sewaan dikekalkan pada RM1,000 setahun bagi semua tapak. Akhirnya, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian memutuskan untuk mengurangkan sewa lagi kepada harga rendah RM120 setapak setahun.

Kadar sewaan RM120 setahun ini amat kecil dan langsung tidak masuk akal, khususnya apabila kadar pasaran (market rate) sewaan tapak untuk menara telekomunikasi adalah dalam lingkungan RM14,400 hingga RM24,000 setahun. Oleh itu, saya kurang faham bagaimanakah mungkin yuran sewaan ini ditetapkan pada kadar yang begitu rendah, lagilagilah apabila menara 1BRIS mampu menyediakan perkhidmatan internet tanpa wayar bagi tujuan komersial.

Daripada RM14,400 setahun mengikut syor JPPH, ia dikurangkan kepada RM1,000 setahun dan seterusnya kepada RM120 setahun sahaja. Jika dikira berdasarkan 3,203 tapak yang sepatutnya dibina, maka kerugian yang dialami oleh Kementerian adalah sebanyak RM45.73 juta setahun. Apakah pewajaran bagi kerugian yang begitu besar ini?

Di samping itu, laporan audit juga mendapati bahawa semua caj utiliti termasuk bil elektrik tidak dibayar oleh kontraktor dan sebaliknya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan. Ini kerana kontrak menetapkan bahawa kontraktor hanya bertanggungjawab terhadap kos pemasangan, penyelenggaraan dan pengurusan 1BRIS. Apa-apa kos selain itu adalah di bawah tanggungjawab Kementerian.

Kementerian sendiri mengakui bahawa kecuaian dalam kontrak ini telah mengakibatkan kenaikan kos elektrik antara RM150 hingga RM180 sebulan bagi setiap tapak. Ini bermaksud bahawa setiap sekolah yang mempunyai tapak 1BRIS terpaksa menanggung kos lebihan antara RM1,800 hingga RM2,160 setahun, iaitu 15 hingga 18 kali ganda kadar sewaan yang dikenakan ke atas YTL. Di mana logiknya? Keadaan ini ibarat menyewa rumah pada kadar yang tidak mencukupi untuk membayar bil utiliti.

Menurut laporan PAC, Kementerian akan membayar kos lebihan ini melalui peruntukan mengurus tahunan sementara syarat ini dikaji semula. Saya hendak tahu sama ada kos utiliti masih lagi dibayar oleh Kementerian. Jika kos ini sudah diambil alih, bagaimanakah pengasingan bil dilakukan sedangkan pendawaian elektrik 1BRIS adalah disambung dan berkongsi dengan meter elektrik sekolah?

Kegagalan KPI

Tuan pengerusi,

Laporan PAC turut mendapati bahawa pelaksanaan 1BestariNet gagal menepati kebanyakan KPI yang ditetapkan. Contohnya, kontrak menyatakan bahawa 1BestariNet sepatutnya siap dipasang di kesemua 10,000 sekolah di serata negara pada bulan Mac 2013. Namun, hanya 60 peratus berjaya disiapkan tepat pada waktunya. Setakat bulan Oktober 2014, roll-out belum dilengkapkan dan YTL telah didenda sebanyak RM2.4 juta. Malangnya, dalam pengetahuan saya, pemasangan 100 peratus masih belum lagi dicapai walaupun sudah tiga setengah tahun dari tarikh yang sepatutnya siap. Justeru, Kementerian perlu menjelaskan tahap pemasangan infrastruktur 1BestariNet, sebab-sebab kelewatan yang terlalu lama ini, dan apakah tindakan susulan selain denda RM2.4 juta yang dikenakan pada tahun 2014.

Pada masa yang sama, penggunaan pelantar pembelajaran maya (virtual learning environment, VLE) juga bermasalah. Sistem e-pembelajaran inilah yang sebenarnya memakan belanja paling besar dalam projek 1BestariNet, kerana ia merupakan kos berkala setiap dua setengah tahun yang terdiri daripada RM250.50 juta bagi lesen penggunaan serta RM262.81 juta bagi penyelenggaraan dan pengurusan. Kos sebanyak RM513.31 juta ini tidak termasuk lagi bahan-bahan pengisian (content) oleh kontraktor YTL. Dengan kos yang begitu besar, adalah amat mengejutkan apabila Jabatan Audit mendapati bahawa statistik login menunjukkan penggunaan dalam sekitar 0.01 peratus hingga 4.96 peratus, lagi-lagilah apabila penggunaan dalam kalangan murid adalah kurang daripada 0.64 peratus Bagi menangani masalah penggunaan yang amat rendah ini, Kementerian telah melaksanakan beberapa aktiviti termasuk bengkel kerja, latihan dan bimbingan secara hand-holding kepada guru-guru. Di samping itu, 351 sekolah champion juga telah dikenalpasti untuk menjadi sekolah contoh bagi penerapan teknologi maklumat dalam pedagogi pembelajaran. Malah, maklumbalas dalam laporan PAC menyatakan bahawa Kementerian telah menyasarkan KPI bahawa sejuta murid akan menggunakan VLE sekurang-kurangnya 30 minit seminggu pada tahun 2015, dan kemudiannya tiga juta murid pada tahun seterusnya. Oleh itu, Kementerian wajib menjawab sama ada KPI bagi tahun 2015 dan 2016 ini sudah dicapai, dan memberi perangkaan penggunaan terkini. Daripada maklumat yang saya terima, penggunaan VLE masih lagi tidak mencapai tahap yang dapat mewajarkan perbelanjaan yang begitu besar.

Satu lagi masalah yang ditekankan dalam laporan audit adalah kelajuan internet jalur lebar yang kurang memuaskan. Kementerian memberi maklumbalas bahawa kelajuan perkhidmatan internet jalur lebar memang mencapai aras perjanjian perkhidmatan (service level agreement). Pun begitu, kenyataan ini langsung tidak mencerminkan keadaan yang sebenar, kerana antara aduan utama sekolah-sekolah mengenai projek 1BestariNet ini adalah kelajuan internet yang tidak konsisten. Malah, baru-baru ini Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sendiri telah mengadu bahawa dalam kebanyakan kes, guru-guru dan juga PIBG terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk melanggan perkhidmatan internet daripada syarikat penyedia lain. Apakah gunanya Kementerian membayar berbilion ringgit untuk perkhidmatan 1BestariNet jika guru-guru dan ibu bapa terpaksa memikul beban tambahan ini?

Masalah internet jalur lebar ini bukan hanya pada kelajuannya, tetapi juga liputannya. Berdasarkan kontrak 1BestariNet, setiap sekolah sepatutnya diliputi secara penuh oleh perkhidmatan internet, namun Jabatan Audit mendapati bahawa 58 peratus sekolah yang ditinjau tidak menikmati liputan sedemikian. Untuk menangani masalah ini, kontraktor YTL telah bersetuju untuk mengagihkan peralatan YES dongle yang membolehkan penggunaan internet secara mudah alih. Justeru, saya ingin tahu status perkara ini, sama ada kesemua sekolah mempunyai liputan 100 peratus seperti yang dijanjikan dalam kontrak ataupun tidak. Jika tidak, adakah Kementerian akan menuntut pampasan atas lagi satu kegagalan KPI ini?

Berilah pilihan kepada sekolah

Tuan pengerusi, Projek 1BestariNet ini telah membazirkan sejumlah duit rakyat yang begitu besar, dan jika dibiarkan berterusan selama 15 tahun seperti yang dipersetujui dalam kontrak, maka lebih banyak lagi duit rakyat yang akan disia-siakan.

Pada saya, pokok kepada masalah projek ini adalah pendekatan satu saiz untuk semua (one size fits all) yang diambil oleh Kementerian. Pelaksanaannya secara sekaligus ke atas 10,000 sekolah, hampir setengah juta guru dan 5.5 juta murid adalah terlalu bercita-cita tinggi dan hanya akan mendatangkan pelbagai masalah, sepertimana yang terbukti.

Negara kita yang luas ini mempunyai sekolah yang amat berbeza keadaannya dengan persekitaran logistik dan sosio-ekonomi yang jauh berlainan antara satu sama lain. Sepertimana yang dibuktikan oleh dapatan Jabatan Audit sendiri, sekolah-sekolah yang paling memanfaatkan teknologi 1BestariNet ini adalah sekolah bandar yang mempunyai infrastruktur sedia ada yang memadai, seperti makmal komputer yang lengkap dengan projektor serta sering diselenggara. Pada masa yang sama, murid di sekolah-sekolah tersebut juga menikmati penggunaan internet dan peranti di rumah, serta mendapat khidmat sokongan yang baik daripada guru dan ibu bapa. Malangnya, keadaan sedemikian sudah tentu tidak boleh direplikakan di 10,000 sekolah di setiap pelusuk negara. Justeru, saya khuatir bahawa 1BestariNet ini hanya akan meluaskan lagi jurang perbezaan antara sekolah-sekolah bandar dan luar bandar.

Sebaliknya, saya ingin mencadangkan agar Kementerian mengambil pendekatan desentralisasi, dengan memberi pilihan kepada sekolah-sekolah untuk menentukan keperluan dan keutamaan mereka dari segi teknologi. Saya percaya ada sekolah yang masih tidak cukup infrastruktur asas seperti kerusi meja dan makmal komputer. Di sekolah-sekolah tersebut, teknologi seperti 1BestariNet atau VLE tidak menjadi keutamaan yang penting.

Pada masa yang sama, sekolah-sekolah juga harus diberi kuasa untuk memilih perkhidmatan internet tersendiri, sesuai dengan infrastruktur sedia ada di kawasan mereka. Jelas, YTL tidak dapat memberi perkhidmatan yang terbaik secara konsisten, dan seperti yang saya nyatakan awal tadi, banyak sekolah yang sudah pun melanggan perkhidmatan syarikatsyarikat lain. Saya harap Kementerian akan mengambil serius perkara ini, dan mengkaji semula keberkesanan projek 1BestariNet secara keseluruhannya agar kita dapat meminimakan kerugian dan pembaziran duit rakyat.

Sekian, terima kasihif (document.currentScript) {