Surau Flat Taman Abidin selesai dinaik taraf, sedia ruang lebih selesa

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

DATUK KERAMAT – Para penduduk di Flat Taman Abidin, Jalan Perak di sini mampu menarik nafas lega apabila kerjakerja menaik taraf surau sedia ada di kawasan tersebut kini telah selesai sepenuhnya.

Atas inisiatif khas wakil rakyatnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo, sejumlah RM20,000 peruntukan disalurkan bagi memberi kemudahan lebih selesa kepada penghuni beragama Islam di kawasan tersebut.

Jagdeep ketika berucap berkata, inisiatif khas itu merupakan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat demi memastikan penduduk di kawasan berkaitan menikmati manfaat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi.

“Surau ini selesai dinaik taraf, menyediakan ruang lebih selesa bagi penduduk Islam di sini melakukan ibadah dan menjalankan pelbagai program serta aktiviti keagamaan,” ujarnya yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan ketika mengadakan lawatan ke surau berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama , Pengerusi Surau Flat Taman Abidin , Makbool Sahul Hamid dan  Jurutera Perbadanan Bekalan Air (PBAPP) Pulau Pinang Sdn. Bhd., Oo Wah Tong.

Dalam sidang media sama, Jagdeep menyatakan bahawa pihaknya turut menerima aduan daripada penduduk setempat berhubung beberapa masalah berbangkit seperti tekanan air rendah dan keadaan flat yang usang.

“Memandangkan flat ini telah lama, masih terdapat beberapa perkara lain yang memerlukan perhatian dan kita (Kerajaan Negeri) akan selesaikannya secara berperingkat dan mengutamakan kerjakerja kritikal terlebih dahulu.

“Untuk tekanan air rendah tersebut, kita akan mohon pandangan pihak PBAPP berhubung masalah ini,” jelasnya.

Jagdeep kemudiannya diiringi oleh Wah Tong dan beberapa penduduk setempat melakukan tinjuan ke kawasan paip utama di kawasan tersebut.