Tidak pamer kupon parkir, kenderaan mungkin ‘dialih’

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini memandang serius tindakan orang ramai yang tidak ‘mempamerkan’ kupon parkir ketika meletakkan kenderaan di petakpetak meletak kenderaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan di sini.

Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. Ang Aing Thye berkata, berdasarkan rekod Majlis, sehingga 18 September lalu, sebanyak 6,953 kenderaan masing-masing didapati memiliki lebih daripada 10 kompaun atau Pemberitahu Tentang Kesalahan (PTK) yang dikeluarkan kepada pemandu yang mengulangi kesalahan sama.

“Malah, sejak sistem letak kereta baharu MBPP menggunakan kupon dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, didapati terdapat orang ramai yang sengaja enggan mempamerkan kupon.

“Lanjutan itu, Majlis kini mula mengambil tindakan pengalihan kenderaan (tunda) terhadap pesalah laku berkaitan mengikut undangundang di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (TLK) MPPP (sebelum menerima pengiktirafan sebagai MBPP) 2014,’’ katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Biasa MBPP di Dewan Bandaran di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan MBPP, Joseph Ng Soon Siang.

Mengulas lanjut, Aing Thye memberitahu, sejak langkah pengalihan kenderaan dikuatkuasakan bermula 14 Ogos lalu, sebanyak 60 kenderaan telah ‘dialihkan’, dan hasilnya, 26 daripadanya (pemandu) telah menyelesaikan tunggakan kompaun atau PTK.

“Bagi pemandu yang mempunyai jumlah kompaun atau PTK yang melebihi RM1,000, bayaran secara ansuran akan dipertimbangkan iaitu hendaklah menjelaskan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan PTK bagi membolehkan kenderaan dikembalikan. Baki kompaun atau PTK pula perlu diselesaikan secara dua kali ansuran dalam tempoh dua bulan.

“Pada masa sama, pemilik kenderaan juga dikehendaki mengisi Surat Aku Janji pihak Majlis,” jelas beliau.