MPSP lancar kempen tangani salah guna parkir OKU

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini melancarkan kempen Park With Heart demi meningkatkan kesedaran awam terhadap penyalahgunaan parkir khas golongan orang kurang upaya (OKU) di ketiga-tiga daerah di sini.

“Tujuan utama kempen ini adalah untuk mengalakkan orang ramai meletak kereta dengan perasaan bertimbang rasa, tanpa menidakkan hak golongan OKU.

“Setiap orang hendaklah memainkan peranan penting dalam memastikan tiada penyalahgunaan tempat letak kereta OKU,” katanya pada sidang media selepasmempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh Bil. 9/2015 di sini baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media sama, Ahli Majlis bagi MPSP, Prof. Madya Dr. Tiun Ling Ta menyatakan bahawa kompaun terhadap pemandu yang didapati melanggari peraturan tersebut wajar digandakan semaksima RM300 berbanding RM50 kini.

“Menerusi pelaksanaan kempen yang berkuatkuasa serta merta, kereta pesalahlaku akan dibalut serta diletakkan pelekat bagi menandakan bahawa ruang parkir tersebut adalah hanya untuk OKU sahaja.

“Saya juga ingin memohon kepada pemilikpemilik premis di pusat beli-belah supaya dapat meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani kes-kes salah guna parkir OKU seperti ini,” serunya.

Dalam pada itu, Ling Ta memberitahu, sebanyak 49 petak parkir OKU disediakan di seluruh Seberang Perai berbanding jumlah pendaftaran individu OKU yang kini berjumlah 53,000.

“Bagi pihak MPSP, saya berharap kempen ini mendapat partisipasi awam di negeri ini demi kebajikan golongan OKU,’’ ujar beliau.