Upacara pembukaan SUKMA Perak berlangsung meriah, gilang-gemilang

DATO’ Seri Farizan Darus (empat dari kiri) mengetuai kontinjen SUKMA Pulau Pinang melambai ke arah penonton pada Majlis Perasmian SUKMA Perak 2018 di Ipoh semalam.

IPOH – Upacara pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-19 berlangsung meriah dalam suasana gilang-gemilang di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Kontinjen Pulau Pinang seramai kira-kira lebih 400 atlet yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Chef De Mission, Dato’ Seri Farizan Darus merupakan kontinjen kesembilan berarak masuk.

Perbarisan turut disertai Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck An.

Kontinjen negeri kelihatan segak bergaya sambil mengenakan pakaian berwarna biru kuning melambangkan bendera Pulau Pinang. 

Majlis perasmian disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dengan simbolik menyalakan obor temasya SUKMA.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong,  Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi Belia dan Sukan, Ong Ah Teong dan Daniel Ghooi Zi Sen serta barisan kepimpinan pusat dan negeri.

Majlis berlangsung dengan penuh pertunjukan berwarna-warni yang menonjolkan kepelbagaian budaya  termasuk teater Indera Sakti dari pelbagai kaum, persembahan pencahayaan, pancaragam sekolah-sekolah, tarian war cry dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pertunjukkan bunga api.

Sebanyak 29 acara sukan dipertandingkan pada SUKMA kali ini melibatkan kira-kira 12,000 atlet yang mewakili 15 kontinjen dari seluruh negara termasuk dari  negara Brunei Darussalam.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI 

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD