1,000 sukarelawan diperlu bagi hasilkan Mural 3D menggunakan penutup botol terkumpul, seru YDP MPSP

SEBERANG JAYA – Sebanyak 101,365 penutup botol berjaya dikumpul oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi menghasilkan Mural 3D.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program yang dianjurkan bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu adalah selari dengan ‘Smart Consumption Model’ MPSP iaitu 8R.

“Pada majlis pelancaran sebelum ini kita sasarkan untuk mengumpul penutup botol sebanyak 71,000, tapi hari ini kita capai lebih daripada yang kita tetapkan.

“Ini menunjukkan bahawa program ini mendapat sokongan yang kuat daripada komuniti setempat dan sebab itu saya yakin visi MPSP untuk capai bandar rendah karbon dan bandar pintar menjelang 2022 akan tercapai,” katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan pengumpulan penutup botol minuman di Pejabat MPSP dekat Bandar Perda, di sini sebentar tadi.

Menurutnya lagi, penutup botol yang berjaya dikumpul tersebut akan digunakan untuk melukis empat gambar mural yang masing-masingnya di Hutan Bukit Panchor, Hutan Pelajaran Air Itam dan di Permatang Rambai (2).

“Proses membuat mural akan diadakan pada 21 hingga 23 September ini dan lebih 1,000 sukarelawan diperlukan untuk menjayakan program berkaitan.

“Oleh itu, sukarelawan sama ada individu, institusi pengajian tinggi, kilang, sekolah dan penggiat kitar semula digalakkan untuk mengambil bahagian,” seru beliau.

Difahamkan, penutup botol yang berjaya dikumpul tersebut disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk penggiat kitar semula, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, dua buah sekolah, empat persatuan di bawah MPSP dan seluruh pekerja MPSP.

Mengulas lanjut, kata Rozali, penganjuran program itu juga sebagai salah satu usaha untuk mengatasi masalah pembuangan plastik pakai buang ke laut yang dianggarkan berjumlah 2.4 juta.

“Malaysia menduduki tangga kelapan dalam senarai negara yang banyak membuang plastik ke laut yang boleh mengancam hidupan di laut.

“Sebab itulah perlu adanya program-program seperti ini yang mampu meningkatkan kesedaran tentang penggunaan semula (reuse),” katanya lagi.

Untuk mendaftar sebagai sukarelawan atau bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh layari laman sesawang MPSP : www.mpsp.gov.my

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS