15 bas elektrik Rapid Penang mula beroperasi hari ini

Admin
img 7597 ANTHONY Loke Siew Fook (dua dari kanan) dengan diiringi S. Sundarajoo (kanan sekali) dan tiga lain mengacu hos pengecasan tenaga ke sebuah bas elektrik Rapid Penang, seusai perasmian Majlis Pelancaran Bas Elektrik Rapid Penang di Depoh Weld Quay di sini, pagi tadi.

PENGKALAN KOTA – Sebanyak 15 bas elektrik yang dibekalkan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kepada Rapid Penang mula beroperasi di seluruh Pulau Pinang hari ini, 17 Oktober 2026.

Daripada jumlah itu, 14 bas berukuran 8.25 meter (m), manakala sebuah lagi berukuran 12 m.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengoperasian bas elektrik secara berperingkat bagi perkhidmatan bas henti-henti Rapid Penang itu menandakan era baharu sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang, sekali gus memperkukuh usaha menyediakan perkhidmatan yang lebih mampan dan mesra alam.

“Ini merupakan satu era baharu bagi sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang dengan pengenalan bas elektrik ini.

“Semoga dengan pengenalan bas elektrik ini, kita dapat memperbaharui sistem pengangkutan kita secara beransur-ansur,” ujarnya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bas Elektrik Rapid Penang di Depoh Weld Quay di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; serta Pengerusi Prasarana, Tan Sri Mohd. Nasir Ahmad.

img 7578 img 7567 img 7568 img 7569 img 7564Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, kementeriannya komited menyokong aspirasi negara untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor pengangkutan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030.

Tambah beliau, Prasarana merancang memperoleh sebanyak 1,600 bas elektrik secara berperingkat sehingga 2031 bagi menggantikan sebahagian bas diesel sedia ada dalam rangkaian Rapid Penang dan Rapid KL.

Bagi fasa pertama, sebanyak 250 bas elektrik akan diperoleh dengan pelaburan kira-kira RM200 juta, melibatkan 75 bas untuk Rapid Penang dan 175 bas untuk Rapid KL.

“Perolehan ini dilaksanakan secara berperingkat bagi menyelaraskan penghantaran bas dengan kesiapsiagaan infrastruktur pengecasan serta keperluan operasi di depoh,” katanya.

Beliau berkata, peringkat pertama melibatkan 150 bas elektrik, dengan 40 bas diperuntukkan kepada Rapid Penang dan 110 bas kepada Rapid KL.

“Penerimaan bas bagi peringkat ini bermula pada Jun lalu dan dijadualkan berlangsung secara berperingkat sehingga akhir tahun ini,” jelasnya.

img 7599
ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) dalam sidang media berkaitan di sini pada pagi tadi.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis berkenaan, Siew Fook memberitahu bahawa Kementerian Pengangkutan sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merangka pindaan undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap kesalahan mencuri kabel, susulan kejadian berulang yang boleh menjejaskan operasi dan keselamatan sistem rel negara.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan pemberita berhubung cubaan mencuri kabel yang dikesan antara Stesen Phileo Damansara dan Stesen Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 16 Oktober lalu, kira-kira pukul 5.30 pagi.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB