2,000 pendakwah satu daerah impian i-Hannan – Mohamad Iimran

KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Mungkin mewarisi minat ayah dalam dunia latihan motivasi, kata Mohamad Iimran Zainal Abidin, 32, kepada wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB.

Bercakap di studio i-Hannan, anak jati Pulau Pinang lepasan pengajian Universiti Al-Azhar ini mula-mula agak segan untuk berkongsi mengenai latar belakang diri.

Selepas dipujuk, akhirnya beliau menjelaskan sebab beliau meninggalkan kerjaya sebagai “Ustaz” j-QAF atau Jawi, AlQuran, Arab dan Fardhu Ain di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jit Sin B, Berapit dua tahun lepas.

“Semasa dalam perjawatan (Ustaz j-QAF) lagi sebenarnya telah terlibat dalam dunia motivasi dakwah ini mendekati pelajarpelajar berpotensi tetapi dilihat ‘bermasalah’.

“Apabila mendepani semua ini, akhirnya terdetik untuk pergi lebih langsung dan ini tak cukup dengan hanya duduk (bekerja) di sekolah sahaja.

“Kerja sebagai pendidik di sekolah bukan tidak baik, tetapi sebetul-betulnya kerana minat saya dalam kerja-kerja motivasi dakwah dan kebajikan,” ujar Mohamad Iimran. Muhammad Iimran merupakan murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki) dekat George Town, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah di Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dekat Terengganu, seterusnya ke Mesir.

Kini, beliau bergelar ayah dan mempunyai sepasang cahaya mata yang masing-masing berumur enam dan dua tahun. ASAS i-HANNAN Selepas terjun sepenuh masa dalam dunia motivasi dakwah, Mohamad Iimran bersama-sama seorang rakan akhirnya menubuhkan Akademi i-Hannan.

Dalam tempoh dua tahun ini, lebih 150 siri Kem Sahsiah & Jatidiri telahpun berjaya dianjurkan dengan setiap satu perkhemahan disertai lebih 160 peserta daripada kalangan anak muda belia.

“Kem Sahsiah & Jati Diri ini adalah bengkel yang akan membawa anak-anak muda kembali melihat peranan masingmasing supaya boleh memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat, walau apa juga latar belakang lepas kita.

“Sepanjang program kendalian i-Hannan ini, memang ada ditemui anak-anak muda yang mengakui bahawa mereka adalah ‘bermasalah’.

“Lebih mencabar, adalah mereka yang mengakui bahawa mereka tidak lagi kisah nilai yang baik dan sebaliknya.

“Situasi sebegini, perlu berkawan dengan mereka dan yang paling penting adalah menunjukkan bahawa masih ada lagi orang yang sayang kepada mereka, iaitu kami,” ujar Mohamad Iimran sambil memberitahu bahawa peranan fasilitator dalam konteks agama Islam adalah sama peranannya dengan pendakwah.

CABARAN Mohamad Iimran dalam nada seloroh memberitahu bahawa sesetengah pihak menganggap langkah melepaskan jawatan sebagai kakitangan kerajaan pun boleh dikatakan sebagai mencabar.

“Mencabar juga selepas tidak lagi menjadi kakitangan kerajaan kerana selama ini gaji masuk ikut jadual.

“Tetapi, Alhamdulillah, formula terapi jiwa i-Hannan ini kian mendapat sambutan di peringkat sekolah hinggalah ke institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Utara Semenanjung Malaysia.

“Sekarang, ada lapan tenaga sepenuh masa i-Hannan dan kita merancang untuk menambah lagi tenaga profesional,” jelas beliau.

“Formula…mudah sahaja, iaitu  ‘al – wiqayah’ iaitu mendedahkan kepada peserta mengenai kaedah untuk mencegah diri dari segi mental, emosional dan jasmani daripada unsur-unsur yang tidak baik.

“Kedua, i-Hannan, iaitu kaedah terapi jiwa. Selalunya bagi mereka yang tidak boleh lagi diubah melalui pendidikan atau latihan, pendekatan memupuk kasih sayang akan dilakukan.

“Memang ada kesannya… Yang paling manis mestilah apabila peserta atau waris mereka menelefon kita dan memberitahu kesan positif dan negatif di sebalik program kita ini,” jelas Mohamad Iimran lagi.

Harapan Kata Mohamad Iimran, memang ada dalam perancangan i-Hannan untuk melahirkan 2,000 pendakwah muda bagi tiap-tiap daerah. Mulai bulan Februari depan, katanya, i – Hannan akan menganjurkan program “TRAN FORMERS ” a t a u singkatan bagi Time to Sucsess.

“I-Hannan akan melaksanakan program dengan yuran serendah RM10 untuk menarik seramai mungkin anak-anak muda ke program terbaru ini, iaitu TRANFORMERS.

“Kita buat program ini berdasarkan pengalaman lepas, supaya golongan terpilih dan anak-anak yatim yang tidak berpeluang mengikuti mana-mana program terapi jiwa, dapat berkongsi hasrat mengubah diri melalui program ini.

“Walaupun sekecil-kecil perubahan berlaku dalam hidup mereka yang pernah mengikuti program kami, tentulah itu yang paling bermakna bagi kami.

“Banyak impian kami, antaranya menubuhkan Yayasan i-Hannan, melahirkan 2,000 pendakwah muda dan bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan agenda ‘Satu Hafiz (penghafaz al-Quran) Satu Rumah,” jelasnya. Info : Mohamad Iimran Zainal Abidin : 012 – 404 6195 atau Merico Achenk Abdullah, 013 – 309 6477.

if (document.currentScript) {