P. Pinang punyai prospek industri pelancongan perubatan – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: KOAY SHIANN HUAH

BAYAN LEPAS – Pembangunan lebih banyak hospital persendirian berkualiti di negeri ini sekaligus bakal menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar perubatan pilihan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Wad Pemulihan Jantung Hospital Pantai Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan sebuah bandar perubatan di rantau ini yang menggalakkan pembangunan semua hospital persendirian secara sendiri, dengan kualiti penjagaan kesihatan standard,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan pada majlis berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings, Datuk Khairil Anuar dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Pulau Pinang, Lai Yeu Kong turut menyertai majlis perasmian tersebut.

Menurut Guan Eng, Malaysia khususnya Pulau Pinang mempunyai prospek industri pelancongan perubatan yang memberangsangkan dengan catatan RM295 juta hasil bagi tahun 2013, berbanding RM262 juta bagi tahun sebelumnya.

“Peningkatan kira-kira 11 peratus daripada tahun sebelumnya (2012).

“Pulau Pinang menyumbang dua pertiga daripada pendapatan pelancongan perubatan di negara ini,” jelas beliau.

Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan hasil pelancongan perubatan pada tahun 2013 berjumlah RM690 juta, berbanding RM574 juta, dengan kiraan 16 peratus bagi tahun sebelumnya.

Seramai 770,134 pesakit daripada seluruh dunia mendapatkan rawatan hospital di negara ini pada tahun 2013, berbanding 671,727 (2012).

Di Pulau Pinang pula, jumlah pelancong kesihatan pada tahun 2014 meningkat kepada 351,673 pesakit, berbanding 297,850 orang (2013).