2,059 guru agama terima ‘duit raya’ atas integriti KN

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini menyaksikan majlis penyerahan replika cek bantuan khas kewangan 2015 berjumlah RM596,200 kepada guru agama pelbagai kategori di negeri ini, sebagaimana menjelang musim perayaan Aidilfitri pada tahun-tahun sebelum ini.

Penerima, 1,472 guru Kelas Al -Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Penyelia KAFA (14), guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR, 166), guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR, 192), guru Tahfiz (170), guru sekolah sekolah pondok (19) dan guru Tadika Islam (TADIS, 26).

“Kalau sesebuah Kerajaan Pusat mengamalkan integriti, tentulah tak akan berlaku ‘1Malaysia Dalam Bahaya’ atau 1MDB dengan hutang tertunggak mencecah lebih RM42 bilion, yang turut mendapat liputan media-media dari luar negara.

“Sumbangan khas boleh diuruskan kerana kita ada surplas, walaupun Kerajaan Negeri tidak begitu ‘senang’ seperti dulu disebabkan terbeban (oleh) GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), sebagaimana susah ditanggung oleh rakyat.

“Kerana ada integriti, kita (Kerajaan Negeri) berbelanja secara hemah dan lebihan kewangan inilah dikongsi dengan menyalurkan pemberian khas kepada guru-guru agama yang begitu banyak sumbangannya kepada pembangunan modal insan di negeri ini,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama Ketua Menteri Pulau Pinang di depan hampir 1,000 tetamu di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) dan Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir pada majlis yang dilangsungkan di Hotel The Light dekat Seberang Jaya di sini.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Mohamad Sabu, Dato’ Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi (Pengerusi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia, PasMa yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan, NGO), Dato’ Dr. Mujahid Yusof Rawa (bekas ahli lembaga pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang, YIPP) antara tetamu utama pada majlis jamuan itu.