PDRM, ATM terima saguhati raya tanda penghargaan

PENGHARGAAN… Sebagai menghargai jasa dan khidmat bakti pasukan keselamatan negeri, Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri bernilai RM10,000 masing-masing kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini baru-baru ini.

Mewakili PDRM adalah Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Mior Faridalathrash Wahid yang mewakili Ketua Polis Negeri. Manakala, Panglima Markas Briged Keenam, Brigedier Jeneral Mardzuki Muhammad dari Kem Sungai Layar, Sungai Petani mewakili pasukan ATM.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai jasa dan pengorbanan anggota-anggota keselamatan tanpa mengira masa demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan semua terpelihara.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.