Siddiq, Awatif wakil negeri ke Tilawah Al-Quran Kebangsaan

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN -Qari, Muhammad Siddiq Mohd. Rosli dan Qariah, Awatif Abd. Majid dinobat sebagai Johan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang Ke-58 baru-baru ini di sini.

Kejohanan tersebut melayakkan keduanya mewakili negeri Pulau Pinang ke pertandingan peringkat kebangsaan pada 20 hingga 25 April ini bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dalam satu kenyataan medianya berkata, seramai 97 peserta terdiri daripada 54 Qari dan 43 Qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing di peringkat daerah bermula sejak 16 Februari lalu.

“Hanya 12 peserta iaitu masing-masing enam Qari dan Qariah layak ke peringkat akhir termasuk johan menunggu,” ujarnya pada kenyataan media berhubung keputusan Majlis Tilawah Al-Quran Negeri Pulau Pinang Ke-58 Tahun 1436H/2015M yang berlangsung pada 3 hingga 4 Mac lalu di sini.

Muhammad Siddiq dan Awatif masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM5,000, piala, sijil dan pakej menunaikan ibadah haji. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

Dalam pada itu, Muhammad Umar Syazuli Mohd. Tahir dan Che Noliah Saidin muncul sebagai Naib Johan dan melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000, piala berserta sijil.

Wakil dari Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Mohd. Fadzil Ismail dan Nur Shahirah Fatini Mohd. dipilih sebagai pemenang tempat ketiga (RM3,000, piala serta sijil) masing-masing dalam kategori dipertandingkan.

Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian Tazkirah oleh Ustaz Mohd. Aizam dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan persembahan qasidah oleh bekas Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, Syarifah Khasif Syed Badiuzzaman.

if (document.currentScript) {