245 pembeli terima kunci, penantian 18 tahun berakhir

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

JELUTONG – Penantian 245 pembeli rumah kos sederhana rendah (KSR) Halaman Kristal (Crystal Prestige) selama 18 tahun berakhir apabila mereka menerima kunci masing-masing di sini baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo yang hadir menyerahkan replika kunci pada Majlis Penyerahan Kunci Halaman Kristal turut berpuas hati dengan perkembangan pemulihan semula projek-projek terbengkalai di Pulau Pinang.

“Misalnya, projek Halaman Kristal ini, setelah diambil alih dan siap sepenuhnya pada 2009, namun sijil layak menduduki (OC) hanya berjaya diperoleh pada 13 Mac lalu.

“Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada pembeli dan juga pemaju kerana setia menunggu walaupun ia mengambil masa hampir lima tahun,” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu, sejumlah 101 unit rumah KSR telah dikhaskan kepada penduduk di Kampung Dodol dan Kampung Masjid di sini sebagai bayaran balik pampasan pengambilan tanah mereka.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah khaskan 101 unit rumah untuk penduduk Kampung Dodol dan Kampung Masjid sebagai pampasan dan selebihnya adalah hasil pembelian melalui Bahagian Perumahan menggunakan Sistem Pendaftaran Rumah secara atas talian,” jelasnya.

Projek Halaman Kristal merupakan projek pemulihan yang diambil alih oleh pemaju, Syarikat Crystal Prestige Sdn. Bhd. dan telah siap sepenuhnya pada bulan April 2009.

Mempunyai dua blok unit kediaman iaitu Blok B yang merupakan blok 42 unit rumah mampu milik dengan nilai RM262,000 dan Blok C, RM72,5000 sebanyak 245 unit rumah KSR.

Sementara itu, bagi pembeli, Mohd. Abdul Latiff Abu Tahir, 55, berkata, beliau amat teruja dan bersyukur apabila penantian selama lima tahun untuk mendiami kediaman baru termakbul.

“Kami sekeluarga sudah tunggu lebih 15 tahun sejak projek ini mula dibangunkan sehinggalah diambil alih oleh pemaju baru dan kini bolehlah kami duduk rumah baru,” ujar beliau.

Bagi pesara, Noor Aing Mann, 55, penyerahan kunci tersebut amat melegakan beliau setelah menunggu sekian lama.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri terutama Y.B (Jagdeep) kerana berusaha mendapatkan OC walaupun ia mengambil masa yang lama,” katanya di sini.

Bagi penerima pampasan yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Ain menyatakan bahawa beliau amat bersyukur walaupun sedikit terkilan kerana emaknya tidak dapat merasai rumah baru ekoran telah kembali ke rahmahtullah.

“Penantian terlalu lama, tapi Alhamdulillah, akhirnya berbaloi juga perjuangan kami penduduk kampung di sini,” kata beliau.