Cat semula perumahan Padang Tembak

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

AIR ITAM – Sebanyak enam blok Perumahan Awam Padang Tembak di sini bakal berwajah baru atas inisiatif khas Kerajaan Negeri untuk menjalankan kerja-kerja pengecatan semula bangunan-bangunan tersebut dalam tempoh tiga tahun.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, inisiatif itu adalah demi menjaga kebajikan dan keselesaan penduduk.

“Setiap dua blok bangunan akan mengambil masa setahun untuk disiapkan.

“Secara keseluruhannya, kos RM203,000 diperlukan bagi mengecat setiap blok.

“Justeru, Kerajaan Negeri menampung kos sebanyak 80 peratus iaitu RM162,400, manakala bakinya dikongsi secara purata bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera (Zairil Khir Johari) dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kebun Bunga (Cheah Kah Peng) sebanyak RM40,600 bagi setiap blok,” ujarnya ketika menyempurnakan gimik Majlis Pengecatan Blok Perumahan Awam Padang Tembak di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Joseph Ng Soon Siang dan Lee Chun Kit.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai konsep penambahbaikan tersebut, Zairil menjawab bahawa setiap blok bakal dihiasi dengan warna yang berlainan.

“Kelainan warna ini akan melambangkan identiti blok-blok tersebut kelak.

“Ini juga akan memudahkan orang ramai membezakan antara satu blok dengan yang lain,” jelas Zairil.