25 dapat TUTM, Exco galak belia ceburi pertanian moden

PANTAI JEREJAK – Skim pinjaman mikro kredit Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri diharap terus menggamit minat golongan belia untuk menceburi bidang pertanian moden di Pulau Pinang.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian pada majlis penyerahan TUTM kepada 25 peminjam pertama di sini baru-baru ini.

“Saya melihat bidang pertanian ini sememangnya peluang terbaik dalam menjana pendapatan lumayan, sayangnya ia hanya dipelopori golongan warga emas.

“Jadi, TUTM diperkenalkan untuk petani dan nelayan muda dalam memperkembangkan sektor pertanian dengan praktis yang moden,” jelasnya pada majlis yang dilangsungkan di Kompleks Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dekat Bayan Lepas di sini.

Turut hadir, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Tambah Afif, transisi dari pertanian tradisional kepada kejenteraan serta kaedah-kaedah moden seperti di Australia terbukti menggandakan produktiviti bekalan makanan di negara itu.

“Sektor pertanian di Pulau Pinang sememangya mempunyai potensi yang amat besar dan tiada alasan bagi kita menidakkan perkara tersebut yang terbukti apabila negara seperti New Zealand yang mempunyai empat juta penduduk mampu menjadi pengeluar susu utama di dunia.

“Jadi dengan penduduk 1.6 juta orang, Pulau Pinang sekurangkurangnya, kita harap dapat masuk sebahagian daripada kepentingan sektor pertanian dunia,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Atas maksud itu, Afif memberitahu, Kerajaan Negeri menubuhkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di lokasi khas seluas 115.20 hektar dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah yang siap beroperasi pada bulan Julai lalu, dengan nilai pelaburan RM40 juta.

Difahamkan, sektor pertanian negeri mencapai pertumbuhan menggalakkan sebanyak 4.7 peratus, berbanding dengan 3 peratus untuk seluruh Malaysia dalam tempoh tahun 2011 hingga 2013.

Maka, sumbangan pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang pula menyaksikan peningkatan kepada 1.9 peratus pada tahun 2013, berbanding 1.6 peratus pada tahun 2005.

Dalam pada itu, penerima TUTM, Mohd. Fuad Mohd. Radzi, 27, yang ditemui menyambut baik inisiatif baru Kerajaan Negeri ini.

“Pemberian bantuan ini akan saya gunakan untuk membeli baja dan peralatan berkaitan dengan tanaman sayur-sayuran dan ikan keli yang saya usahakan di tanah berkeluasan tiga ekar sekarang,” ujarnya yang merupakan seorang petani muda dari Simpang Empat Tasik dekat Seberang Perai Selatan (SPS).

Ditanya mengenai penglibatannya sebagai petani muda, Mohd. Fuad menjelaskan bahawa beliau sememangnya berminat dengan sektor pertanian tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

“Selepas tamat pengajian, saya pernah bekerja makan gaji, namun tidak bertahan lama, lalu saya beralih kepada pertanian kerana ianya lebih menarik dan ‘kena’ dengan jiwa saya sendiri,” jelasnya.

} else {