Dua Proton rebutan peserta bertuah PBIM 2015

GEORGE TOWN – Sebuah Proton Iriz dan sebuah Proton Saga Plus buat julung kalinya menjadi rebutan peserta larian marathon antarabangsa, Asics Penang Bridge International Marathon 2015 (PBIM) yang bakal berlangsung di Jambatan Pertama Pulau Pinang, 22 November depan sebagai hadiah cabutan bertuah.

Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang berkata, hadiah yang masing-masing berharga RM100,000 tersebut adalah tajaan khas Proton Edar Sdn. Bhd. dengan sokongan Pengerusinya, Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza bagi menjayakan penganjuran berkaitan.

“Difahamkan, penganjuran kali ini bakal menerima penyertaan 24,000 peserta berdaftar, sungguhpun penganjur mensasarkan 40,000 penyertaan dari seluruh negara dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, yuran pendaftaran selepas tarikh 1 September 2015 dinaikkan RM10 bagi semua ketegori, kecuali kategori 10 kilometer (km) Junior dan 8 kilometer Larian Ria yang menyaksikan kenaikan yuran RM5 sahaja.

“Oleh itu, bayaran akan menjadi RM90 untuk (kategori) Marathon Penuh, Separuh Marathon (RM80), 10km Terbuka (RM70), 10km Junior (RM45) dan Kategori Fun Run (RM25),” jelasnya.

Difahamkan, empat kategori dipertandingkan, iaitu Marathon Penuh 42km untuk Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita; Separuh Marathon 21km (Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita); 10km Terbuka (Lelaki dan Wanita); dan 10km (Junior Lelaki dan Junior Wanita).

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau ingin membuat pendaftaran secara dalam talian boleh melayari laman web www. penangmarathon.gov.my atau laman Facebook: www.facebook.com/ penangbridgemarathon .