TERLETAK di tengah-tengah kawasan perindustrian Butterworth yang pesat membangun, sebuah jenama tempatan secara perlahan-lahan telah berjaya membina reputasi kukuh dalam industri makanan dan minuman (F&B) negara.
Selama hampir empat dekad, Gold Medal Manufacturing Sdn. Bhd. membekalkan aroma teh dan kopi yang menjadi nadi kepada pelbagai premis makanan, daripada kopitiam sederhana hinggalah rangkaian nasi kandar terkenal di seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Gold Medal Manufacturing, BOWEN CHENG ketika ditemui berkongsi bagaimana perniagaan keluarga generasi kedua itu terus berkembang sambil mengekalkan prinsip asas penubuhannya.
“Ditubuhkan pada tahun 1988, Gold Medal Manufacturing berkembang daripada operasi tempatan kepada pembekal utama yang meliputi pasaran di wilayah utara hingga Kuala Lumpur, selain Sabah, Sarawak serta pasaran serantau seperti Brunei.
“Syarikat kami memfokuskan pengeluaran serbuk teh dan kopi hitam, membekalkan produk kepada restoran, kedai kopi, medan selera, hospital serta kem tentera.
“Senarai pelanggan kami amat kukuh di wilayah utara apabila syarikat turut membekalkan produk kepada sebahagian besar pengusaha nasi kandar terkenal seperti Restoran Pelita, Nasmir Nasi Kandar, Deen Mutiara, Deen Maju, Restoran Subaidah, Kassim Mustafa dan Restoran Kapitan.


“Kira-kira 80 premis premis nasi kandar di wilayah utara merupakan pelanggan kami,” jelasnya sekali gus menonjolkan integrasi mendalam syarikat itu dalam budaya makanan Malaysia yang cukup meriah.
Menurut Bowen, keistimewaan yang ada pada Gold ialah tumpuan tidak berbelah bahagi syarikat itu terhadap kualiti dan konsistensi.
“Disokong oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pihak syarikat berjaya membangunkan ‘rasa Gold Medal’ yang tersendiri, iaitu profil aroma dan rasa unik yang membuatkan pelanggan terus kembali.


“Selain produk standard, syarikat turut menyediakan campuran khas yang disesuaikan mengikut cita rasa pelanggan.
“Sama ada teh, kopi hitam atau minuman istimewa seperti coklat malt dan kopi putih, Gold Medal berbangga dapat menawarkan produk yang memenuhi cota rasa unik setiap pelanggan.
“Komitmen terhadap perkhidmatan ini turut melangkaui produk itu sendiri.
“Malah, dengan penghantaran dari pintu ke pintu serta sistem logistik yang dipercayai, syarikat kami memastikan pelanggan menerima kemudahan dan konsistensi, dua faktor yang membantu kami membina hubungan jangka panjang dalam industri,” ulasnya lanjut
Bowen berkata, Gold Medal Manufacturing berjaya menjana pendapatan tahunan melebihi RM9 juta ketika ini serta mempunyai kira-kira 30 kakitangan.
“Syarikat kami juga mengimport dan mengedarkan produk ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Ketika ini, syarikat menghasilkan kira-kira 40 tan teh dan 10 tan kopi setiap bulan.
“Berpandukan misi untuk menyediakan minuman berkualiti tinggi sambil memupuk kepercayaan dan kebolehpercayaan, kami berhasrat menjadi pembekal teh dan kopi terkemuka di rantau ini,” katanya.
Tambahnya, meskipun Gold Medal sudah sekian lama menjadi pemain utama dalam pasaran perniagaan kepada perniagaan (B2B), syarikat kini sedang melaksanakan transformasi yang lebih besar.
“Syarikat mula melabur dalam mesin baharu dan membentuk pasukan khusus bagi menyokong peralihan ke pasaran perniagaan kepada pengguna (B2C).
“Sudah semestinya media sosial akan memainkan peranan penting dalam peralihan ini,” katanya.
Bowen turut berkongsi bahawa pihak syarikat sedang giat membina pengaruh di platform seperti TikTok, dengan pasukan baharu yang memberi fokus kepada pemasaran digital dan penglibatan jenama.
Beliau berkata, bagi tempoh 2026 hingga 2027, Gold Medal Manufacturing merancang untuk memindahkan operasi ke kilang yang lebih besar untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi serta memperkukuh usaha pemasaran digital.
“Seterusnya bagi tempoh 2027 hingga 2028, kami menyasarkan peralihan sepenuhnya ke arah model perniagaan terus kepada pengguna (B2C) dengan memperluaskan saluran jualan terus serta meningkatkan keterlihatan jenama.
“Menjelang 2028 hingga 2030 pula, syarikat bercadang untuk meneroka pasaran eksport dan memperkenalkan lebih banyak produk berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pasaran tertentu,” katanya.
Daripada permulaan sederhana di Butterworth sehingga menjadi nama yang dipercayai dalam rantaian bekalan industri F&B Malaysia, perjalanan Gold Medal Manufacturing mencerminkan ketahanan, inovasi dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: GOLD MEDAL MANUFACTURING