GEORGE TOWN – Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global, Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa penyelarasan rentas jabatan bagi mempercepat pelaksanaan dasar serta menyelaras sumber secara lebih berkesan.
Langkah tersebut dilihat mampu membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus berkembang secara mampan dalam landskap ekonomi yang semakin kompleks dan berubah-ubah, sekali gus memperkukuh daya tahan ekosistem perniagaan negeri.
Perkara itu dinyatakan Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik ketika merasmikan Seminar Pembiayaan dan Pematuhan Syarikat untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) anjuran Malaysia Progressive Entrepreneurs (MPE) Chamber of Commerce di Komtar, baru-baru ini.
Menurut beliau, sejak menerajui portfolio perdagangan, pelbagai dasar mesra perniagaan telah digerakkan bagi meningkatkan daya saing keseluruhan PKS di negeri ini.
“Dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar dan tidak menentu, kerjasama erat antara kerajaan dan sektor perniagaan amat penting bagi mewujudkan peluang baharu di sebalik cabaran ekonomi semasa.
“Justeru, penubuhan jawatankuasa penyelarasan rentas jabatan amat penting dalam membantu PKS memperkukuh ekosistem perniagaan sambil memastikan persekitaran ekonomi yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Lim Lip Sing; serta Pengerusi MPE Kebangsaan, William Khoo.
Dalam perkembangan sama, Syn Tze berkata bahawa kebanyakan PKS kini berdepan tekanan aliran tunai dan kepelbagaian saluran pembiayaan dilihat sebagai antara penyelesaian utama bagi membantu kelangsungan perniagaan.
“Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pelaksanaan inisiatif pembiayaan berjumlah RM100 juta yang disifatkan sebagai nafas baharu kepada komuniti perniagaan.
“Selain itu, pengenalan skim faedah (Interest Scheme) oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut menyediakan alternatif pengumpulan dana yang lebih fleksibel kepada syarikat, khususnya bagi membantu PKS,” katanya lagi.
Gambar: EXCO