GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri merancang menyediakan 300 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Jelutong dan Seberang Perai Tengah bagi meningkatkan penawaran kediaman mampu sewa kepada golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, cadangan pembangunan itu merangkumi 180 unit PPR di Jelutong, Daerah Timur Laut dan 120 unit lagi di Seberang Perai Tengah, tertakluk kepada peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurutnya, kedua-dua projek tersebut dirancang di atas tanah milik kerajaan dengan setiap unit kediaman berkeluasan anggaran 750 kaki persegi.
“Selain mengoptimumkan penggunaan unit sedia ada, Kerajaan Negeri turut merancang penambahan bekalan PPR di atas tanah milik kerajaan,” katanya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut mengenai projek PPR Kota Giam, Jelutong, Sundarajoo memaklumkan bahawa projek berkenaan kini dalam proses memuktamadkan perjanjian bersama pihak pemaju sebelum meneruskan proses mendapatkan kelulusan pelan pembangunan berkaitan.
Projek itu dijangka memulakan pelaksanaan pada pertengahan 2027 dan disasarkan siap pada 2031.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penawaran unit PPR bergantung pada kekosongan unit sedia ada, termasuk proses pengosongan, pemeriksaan dan kerja-kerja pembaikan sebelum kediaman berkenaan boleh ditawarkan kepada pemohon baharu.
Jelasnya, PPR dan Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) merupakan kemudahan perumahan transit dan bukannya kediaman kekal tanpa syarat.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap penghuni yang telah hilang kelayakan atau gagal mematuhi syarat penyewaan, termasuk kegagalan menjelaskan tunggakan sewa.
Bagi memastikan pengagihan unit dilaksanakan secara teratur dan adil, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) menjalankan proses pemutihan setiap tiga tahun menerusi semakan dokumen kelayakan serta pemeriksaan fizikal.
Bagaimanapun, katanya, tindakan pengosongan dan pengambilan semula unit hanya dilaksanakan selepas penghuni yang didapati tidak lagi layak diberikan masa dan ruang sewajarnya untuk mengemukakan rayuan.
“Ketegasan ini bukan bertujuan membebankan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan kemudahan perumahan awam yang terhad dapat dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.
Beliau turut memaklumkan bahawa had pendapatan kelayakan bagi permohonan PPR ditetapkan pada RM1,700, namun penilaian turut mengambil kira pendapatan isi rumah, pendapatan bersih selepas komitmen asas dan bilangan tanggungan pemohon.
“Pertimbangan sewajarnya boleh diberikan berdasarkan keadaan sebenar pemohon, termasuk tanggungan ahli keluarga yang memerlukan penjagaan khas.
“Pemdekatan ini mencerminkan usaha Kerajaan Negeri mengimbangi ketegasan penguatkuasaan dengan aspek kebajikan penghuni, di samping memastikan peluang mendapatkan kediaman mampu sewa terus diberikan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT