Pulau Pinang sambut baik peruntukan RM59 juta Persekutuan perkukuh infrastruktur kesihatan

tkm1104j

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkukuh ekosistem kesihatan menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan penaiktarafan fasiliti kesihatan dengan kerjasama erat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, sebanyak lapan projek pembangunan melibatkan peruntukan keseluruhan RM59 juta telah diluluskan di bawah Rolling Plan 2 (RP2), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Antara projek utama adalah pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 1 di Butterworth, Seberang Perai Utara bernilai RM50 juta serta kerja-kerja menaik taraf dan menggantikan sistem janakuasa tunggu sedia (genset) di Hospital Pulau Pinang (HPP) bernilai RM3.5 juta.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada keperluan meningkatkan kapasiti dan kualiti perkhidmatan kesihatan, termasuk memastikan kemudahan sedia ada mampu menampung peningkatan jumlah pesakit,” ujarnya ketika sesi penggulungan perbahasan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.

Mengulas mengenai kesesakan di Hospital Sungai Bakap, Zi Sen memaklumkan bahawa Jabatan Kecemasan hospital berkenaan merekodkan 24,229 kehadiran pesakit setakat tahun ini, dengan purata masa menunggu untuk mendapatkan katil selama 47.4 minit.

“Bagi mengatasi keadaan itu, cadangan pembinaan blok bertingkat di hospital berkenaan akan dikemukakan di bawah Rolling Plan 3 (RP3) RMK13.

“Permohonan pemberimilikan tanah bagi Hospital Sungai Bakap juga telah diluluskan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 28 Oktober 2026.

“Sementara itu, perancangan pembangunan blok baharu Hospital Kepala Batas kini berada pada peringkat kerja-kerja awalan, termasuk kajian teknikal tanah, reka bentuk asas dan penyelarasan skop klinikal,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Lalang itu.

Bagi Hospital Bukit Mertajam pula, Zi Sen memberitahu bahawa permohonan pemberimilikan tanah seluas 6.892 ekar telah diluluskan pada 18 September 2026, dengan premium nominal RM1,000 bagi setiap plot.

“Permohonan pembangunan hospital bertingkat berkenaan turut dikemukakan di bawah RP3 RMK13,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zi Sen memaklumkan bahawa Klinik Kesihatan Tasek Gelugor yang berkapasiti menampung sehingga 500 pesakit sehari kini menerima kehadiran sehingga 900 pesakit sehari.

Sehubungan itu, jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) merancang untuk memohon projek pembangunan Klinik Kesihatan Bertam di bawah RP4 RMK13 bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Mengulas isu kekurangan katil dan kesesakan di HPP, Zi Sen memberitahu bahawa dua projek pembangunan utama sedang dilaksanakan, iaitu Blok Wanita dan Kanak-Kanak setinggi lapan tingkat dengan kapasiti 329 katil serta Blok Klinik Pakar dan Wad setinggi 14 tingkat yang menyediakan 216 katil.

“Kedua-dua projek itu melibatkan kos keseluruhan melebihi RM758 juta.

“Blok Wanita dan Kanak-Kanak dijangka siap pada 2027, manakala Blok Klinik Pakar dan Wad dijadualkan siap sepenuhnya pada 2029.

“Dalam tempoh menunggu projek ini disiapkan, beberapa langkah interim turut dilaksanakan, termasuk pemindahan pesakit stabil ke hospital daerah, penyumberluaran pesakit ke hospital swasta serta pengoptimuman penggunaan wad penempatan singkat,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa purata masa menunggu di Jabatan Kecemasan HPP sehingga Oktober tahun ini adalah lima jam 47 minit, susulan peningkatan jumlah pesakit, kes perubatan yang memerlukan penilaian lanjut serta pemindahan sementara perkhidmatan Obstetrik dan Neonatologi ke tapak utama hospital.

Menyentuh isu kelewatan pembedahan jantung, beliau berkata, seramai 3,214 pesakit masih menunggu giliran untuk menjalani pembedahan sehingga 2026, dengan tempoh menunggu dianggarkan antara enam hingga 12 bulan.

“Kekurangan pakar bedah kardiotorasik, yang kini hanya melibatkan dua orang di Pulau Pinang, menjadi antara faktor utama kepada situasi tersebut.

“Bagi mengurangkan senarai menunggu, program pembelian perkhidmatan (outsourcing) melalui hospital swasta panel di Pulau Pinang telah dilaksanakan, dengan 87 kes berjaya dirujuk pada 2025 dan 69 kes setakat tahun ini.

“Antara hospital panel yang terlibat adalah KPJ Penang Specialist Hospital, Northern Heart Hospital Penang, Penang Adventist Hospital, Gleneagles Hospital Penang, Bagan Specialist Centre, Hospital Kebajikan Kek Lok Si dan Pantai Hospital Penang.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Negeri turut memperkukuh perkhidmatan kardiologi menerusi penubuhan Unit Kardiologi Dewasa di Hospital Seberang Jaya (HSJ) serta pengoperasian Makmal Kardiologi Invasif (ICL) di blok baharu hospital berkenaan,” jelasnya.

Pada sesi sama, Zi Sen turut mengulas prestasi sukan, khususnya pencapaian kontinjen Pulau Pinang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 baru-baru ini.

“Walaupun pencapaian sebenar dengan kutipan sebanyak 39 pingat emas tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan, kita tidak boleh membiarkan jurang ini menenggelamkan segala usaha dan kemajuan yang telah dicapai.

“Bukan itu sahaja, jumlah keseluruhan 156 pingat yang telah kita raih membuktikan bahawa atlet Pulau Pinang masih mempunyai daya saing dan keupayaan untuk menghasilkan pencapaian podium.

“Tugas kita sekarang adalah untuk mengenal pasti mengapa sebahagian pencapaian tersebut belum diterjemahkan kepada pingat emas, seterusnya menentukan intervensi yang dapat memberikan kesan paling besar.

“Secara amnya, kontinjen negeri mencapai keputusan yang memberangsangkan pada penyertaan SUKMA Selangor 2026 jika dilihat dari sudut pencapaian keseluruhan. Kontinjen Pulau Pinang turut mengharungi sebanyak 94 acara,” katanya.

Gambar:  SITI NURATIKAH RAHMAT