Jimat air, kurangkan pembaziran, seru KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Paras air di Empangan Teluk Bahang pada 5 September lalu berada pada tahap rendah iaitu 45.3 peratus melepasi tahap amaran pertama iaitu 50 peratus berdasarkan bacaan yang dikeluarkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Pengerusi PBAPP berkata, beliau bimbang apabila paras air di Empangan Teluk Bahang kini telah menghampiri tahap amaran kedua iaitu 40 peratus.

“Meskipun bukan paras kritikal (30 peratus), namun kita (Kerajaan Negeri) bimbang apabila paras air di Empangan Teluk Bahang mencatatkan paras terendah berbanding dua lain, Empangan Air Itam (68.3 peratus) dan Empangan Mengkuang (95.2 peratus).

“Walaupun hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini, namun paras air di Empangan Teluk Bahang masih rendah,” katanya pada sidang media di sini.

Mengulas lanjut, Guan Eng percaya bahawa faktor perubahan cuaca yang mendadak memainkan peranan.

“Apabila hujan, hujan sangat lebat, tetapi (keesokannya) akan panas menyebabkan air tersejat dengan cepat dan kawasan tadahan air tidak dapat menyerap air yang banyak.” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar rakyat Pulau Pinang, khasnya dapat menjimatkan penggunaan air.

“Saya ingin menyeru rakyat Pulau Pinang agar menyokong saranan Kerajaan Negeri dan PBAPP dalam usaha mengurangkan pembaziran air di negeri ini.

“Sungguhpun tarif air di Pulau Pinang murah, tapi kita (Pulau Pinang) mencatatkan penggunaan air yang tinggi iaitu 300 liter padu sehari setiap orang berbanding kadar nasional hanya 212 liter padu sehari setiap orang.

“Bukan sahaja kadar tarif rendah, malah kualiti air juga yang terbaik di Malaysia dalam kuantiti yang banyak, tetapi janganlah membazir air, sama-samalah kita berjimat-cermat” seru Guan Eng.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);