TELUK BAHANG – Seramai 357 nelayan setempat menerima bantuan pukat daripada Kerajaan Negeri, buat kali kedua pada tahun ini.
Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Dato’ Abdul Halim Hussain menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan berkaitan.
“Kita (Kerajaan Negeri) tampil dengan idea memberi bantuan pukat dua kali setahun, demi meringankan beban para nelayan.
“Seperti mana kita tahu, kehidupan nelayan tidak hanya terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat semata-mata, bahkan, faktor cuaca juga sering menjadi cabaran utama dalam melakukan aktiviti penangkapan ikan ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pukat Peringkat Zon Teluk Bahang dekat Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid dan PPK Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail.
Menurut Abdul Halim, kira-kira RM60,345 dibelanjakan untuk pembelian dua set pukat kepada nelayan berdaftar berkaitan.