Permit Sementara Bangunan bagi premis-premis perniagaan kategori tidak berisiko mulai 2 Januari 2019 – Rozali

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan mengeluarkan Permit Sementara Bangunan bagi premis-premis perniagaan kategori tidak berisiko mulai 2 Januari 2019.

Menurut Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, premis perniagaan tidak berisiko ditakrifkan seperti kedai makan, kedai runcit, kedai gunting rambut dan premis tidak berisiko yang telah diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Objektif pemberian Permit Sementara Bangunan ini bertujuan membantu warga Seberang Perai serta peniaga mendapatkan kelulusan permit bangunan serta lesen perniagaan agar ia lebih terkawal.

Selain itu, ia juga akan memudahkan proses permohonan kelulusan bagi premis perniagaan tidak berisiko dengan menggunakan garis panduan permit sementara ini, maka premis dapat beroperasi dengan sah dan lesen dapat dikeluarkan,” ujarnya pada sidang media pagi ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan tawaran tersebut boleh menghubungi Jabatan Bangunan MPSP di talian 04-549 7566 (Nur Hazwani Ramle, Penolong Pengarah Kanan Bangunan).

Borang permohonan juga boleh didapati dalam talian melalui http://www.mpsp.gov.my/index.php/ms/borang1/bangunan.

Dalam perkembangan berbeza, Rozali turut mengumumkan tentang Garis Panduan Pemutihan Kilang-kilang Tanpa Kebenaran di Kawasan MPSP bermula pada 3 Januari 2018 dan akan tamat pada 2 Januari 2019 nanti.

Untuk rekod, sebanyak 460 premis kilang tanpa kebenaran direkodkan di Seberang Perai, 75 daripadanya sudah mengemukakan permohonan, enam sudah mendapat kelulusan, 57 pemilik memberi maklum balas kepada MPSP untuk kemukakan permohonan.

Tempoh pemutihan ini hanya tinggal lebih kurang satu bulan sahaja lagi, namun terdapat 385 pemilik kilang tanpa kebenaran didapati masih tidak mengambil peluang ini untuk mendapatkan kelulusan bagi aktiviti yang dijalankan mereka.

“Oleh itu, MPSP menasihati semua pemilik kilang tanpa kebenaran mengambil tindakan segera dengan  mengemukakan permohonan pelan kemajuan bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.

(Dan) sekiranya terdapat lain-lain kilang tanpa kebenaran sedia ada yang tiada dalam senarai (kilang disenaraikan MPSP), mereka boleh mengemukakan bukti dan dokumen bahawa ia telah dibina sebelum 31 Julai 2017 (syarat) maka kilang-kilang tersebut layak untuk dipertimbangkan di bawah garis panduan ini,” tegas Rozali lagi.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD