Promosi Cukai Pintu MPSP mulai 1 Disember 2018 hingga 28 Februari 2019

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melaksanakan promosi bayaran cukai pintu bagi tahun 2019 bermula 1 Disember ini dan akan berakhir pada 28 Februari tahun hadapan.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pihaknya menggalakkan pemilik premis untuk membuat bayaran cukai taksiran secara dalam talian (online) bagi mengelak kesesakan di kaunter bayaran MPSP.

Bayaran secara online juga lebih mudah, pantas serta menjimatkan masa, kos serta selari dengan visi MPSP menjadi sebuah bandar rendah karbon menjelang 2022.

Bukan itu sahaja, kita (MPSP) juga menyediakan pelbagai saluran bayaran melalui agensi kutipan yang dilantik untuk memudahkan orang ramai membayar cukai taksiran selain pembayaran di kaunter MPSP,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis, dekat Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Selain itu, jelas Rozali, pembayar cukai taksiran juga layak dipilih dalam cabutan bertuah bagi tahun 2019 sekiranya menepati kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh pihak MPSP.

Antaranya, pembayar cukai taksiran mesti membayar keseluruhan cukai setahun bagi tahun 2019 berserta tunggakan sekiranya ada.

Bayaran cukai juga haruslah dibuat dalam tempoh yang ditetapkan iaitu mulai 1 Disember ini sehingga 28 Februari 2019 di semua kaunter MPSP, laman sesawang dan ejen-ejen yang dilantik secara sah.

Manakala bagi pemilik premis yang telah mendapat pelepasan cukai dan pemilik premis yang mempunyai tunggakan adalah tidak layak melainkan mereka menjelaskan tunggakan yang ada,” tegasnya lagi.

Difahamkan, sebanyak 60 hadiah disediakan bagi pemenang cabutan pada kali ini yang mana 50 (hadiah) adalah untuk kategori A iaitu pembayaran secara online atau ejen kutipan manakala 10 lagi bagi kategori B iaitu bagi pemilik cukai yang membuat bayaran di kaunter MPSP.

Bayaran secara online boleh dibuat melalui 18 saluran antaranya, laman sesawang MPSP di www.mpsp.gov.my atau laman sesawang Kerajaan Negeri Pulau Pinang di https://ebayar.penang.gov.my dan perbankan Internet.

Selain itu, bayaran juga boleh dibuat melalui ejen-ejen kutipan kaunter yang dilantik MPSP pula adalah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Bank Rakyat, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Pos Malaysia serta kiosk selain kaunter MPSP di Bandar Perda, Kampung Jawa, Butterworth dan Jawi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar :
 AHMAD ADIL MUHAMAD