Festival Pinggiran Butterworth, 1-2 Disember ini, jom!

SEBERANG JAYA – Orang ramai dijemput memeriahkan Festival Pinggiran Butterworth 2018 yang akan berlangsung pada 1 dan 2 Disember ini dekat Jalan Jeti Lama, Butterworth.

Yang di-Pertua bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, festival yang lebih dikenali sebagai Butterworth Fringe Festival 2018 (BFF 2018) itu, merupakan penggerak utama dalam pelaksanaan Pelan Butterworth Baharu yang mampu menggalakkan kemajuan insdustri pelancongan di Seberang Perai.


Malah, katanya, penganjuran BFF 2018 itu akan menjadi platform untuk mengembalikan kegemilangan bandar Butterworth sebagai hab kesenian, kebudayaan, pelancongan dan pengangkutan darat.

“Di samping itu, BFF 2018 juga dapat mempromosikan budaya tempatan dengan membawa membawa kelainan dalam mempersembahkan budaya antarabangsa yang berkonsepkan Festival Seni Jalanan (Street Art Festival) .

“Pelbagai acara tempatan dan antarabangsa bakal dipersembahkan selaras untuk menjadikan Butterworth sebagai hab acara kreatif dan inovatif selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi Seberang Perai,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis dekat Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Dalam pada itu, beberapa jalan terlibat akan ditutup bermula jam 12:00 tengah hari hingga 12:00 malam sepanjang program berlangsung iaitu Jalan Datuk Haji Ahmad Said, Jalan Pasar, Jalan Jeti Lama, Lorong Bagan Luar 4, Lorong Sisi kepada Jalan Pasar dan Lorong Tokong.

“Perkhidmatan shuttle bus (bas perantara) percuma disediakan kepada pengunjung secara ulang-alik dari Penang Sentral ke Dewan Datuk Haji Badawi serta dari Bandar Sunway bermula jam 3:00 petang hingga 12:00 malam setiap hari,” katanya lagi.

Bagi yang berkenderaan, Rozali menasihatkan untuk meletak kenderaan di kawasan Jalan Telekom, bangunan lama MPSP, Jalan Kampung Benggali, jalan servis dekat Bagan Luar dan Lorong Bagan Luar.

Antara persembahan menarik yang akan berlangsung adalah Orang Orang Drum Theater, Penang Modern Dance Ensemble (Euphoria Penang), Wak Long Music Group, Artisan Market, Katay Santos, Clap Clap Circo dan banyak lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD