BAYAN LEPAS – Program Merewang Bubur Lambuk bersama Ketua Menteri yang dianjurkan dengan kerjasama komuniti setempat terus menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat apabila kira-kira 5,000 pek bubur lambuk berjaya disediakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz, berkata, program tersebut dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk masjid, surau serta komuniti setempat untuk diagihkan kepada penduduk dan agensi berkaitan.
“Pengagihan bubur lambuk melibatkan kawasan sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas termasuk penerima seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), hospital, dan masyarakat setempat dengan edaran sekitar jam 12.30 tengah hari.
“Sebanyak 10 pasukan terlibat dalam proses memasak menggunakan 10 periuk dengan anggaran lebih 100 kilogram beras digunakan bagi menghasilkan kira-kira 5,000 pek bubur lambuk.
“Menariknya, setiap periuk mempunyai resipi dan citarasa tersendiri yang disediakan oleh pasukan masing-masing,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Al-Hidayah, Bayan Lepas pada 7 Mac 2026.

Hadir sama Pegawai Daerah Barat Daya, Dato’ Rosli Halim; Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul; serta barisan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bayan Lepas.
Azrul Mahathir turut memaklumkan bahawa setiap pasukan disertai oleh kira-kira 20 hingga 30 sukarelawan, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan ukhuwah yang kuat dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Zahar ketika ditemui berkata bahawa program berkaitan merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan sejak 2022 dan diteruskan sehingga kini sebagai usaha mendekatkan kepimpinan negeri dengan masyarakat.
“Lokasi penganjuran juga berubah setiap tahun, antaranya pernah dilaksanakan di kawasan Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS) sebelum ini bagi memastikan lebih banyak komuniti berpeluang menyertai dan merasai kemeriahan program tersebut.
“Pengagihan bubur lambuk turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan selain penduduk setempat dengan kerjasama masjid dan komuniti setempat yang memainkan peranan penting dalam menjayakan aktiviti merewang ini.
“Program ini juga menjadi antara aktiviti tahunan yang dilaksanakan bersama rakyat di bawah inisiatif kepimpinan Kerajaan Negeri sepanjang bulan Ramadan, sekali gus memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat,” jelasnya.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: LAW SUUN TING