Peruntuk RM220,000 turap jalan berhampiran Taman Jajar Sungai Ara

Admin
img 8843

BATU MAUNG – Projek Mesra Rakyat (PMR) ke-10 bagi Parlimen Bayan Baru akan diteruskan dengan kerja penurapan sebahagian jalan berhampiran Taman Jajar, Sungai Ara.

Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, projek tersebut amat penting selepas menerima aduan daripada penduduk mengenai keadaan permukaan jalan sedia ada yang berbahaya.

“Ramai yang mengadu kepada saya bahawa kawasan ini sangat berbahaya kerana permukaan jalan berlopak dan ada yang hampir terseliuh kaki.

img 8835

“Saya akui apabila hujan, kawasan ini menjadi becak dan berisiko kepada orang ramai. Oleh itu, kita telah memperuntukkan RM220,000 untuk menurap jalan ini supaya ia lebih selamat,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke kawasan tersebut di sini pagi tadi.

Turut hadir ialah Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chan Soon Aun dan Mohamad Aidil Ibrahim.

Tambah Tze Tzin, selain kerja penurapan jalan, projek tersebut turut melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan.

img 8836

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa projek itu menjadikan keseluruhan nilai PMR di Parlimen Bayan Baru mencecah RM1.4 juta bagi penggal ke-15 Parlimen Malaysia.

 

Selesai lawatan tersebut, Tze Tzin turut mengedarkan bunga ros kepada orang ramai sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang bakal disambut esok.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI