AROMA persiapan Aidilfitri semakin terasa apabila hanya kira-kira dua minggu sahaja lagi umat Islam bakal menyambut Syawal. Di pusat beli-belah dan bazar, orang ramai mula berpusu-pusu membuat persiapan terakhir termasuk menempah baju raya atau mengubah suai pakaian lama agar tampil segak pada pagi lebaran.
Menjelang musim perayaan ini, tukang jahit antara golongan yang paling sibuk menyiapkan tempahan pelanggan. Tempahan yang diterima merangkumi jahitan sepasang baju baharu mahupun ubah suai pakaian mengikut kesesuaian yang diinginkan pelanggan.
Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama jurugambar, SIEW CHIA EN, sempat melakukan tinjauan ke beberapa premis jahitan bagi mendapatkan reaksi peniaga menjelang Aidilfitri.
Bagi tukang jahit, SHARA BANU ABDUL LATIF, 64, beliau menerima kira-kira 100 atau lebih tempahan daripada pelanggan untuk Syawal tahun ini.
“Saya mula menerima tempahan sejak sebelum bulan puasa lagi, tetapi nasib baik ada pembantu, jadi kerja lebih mudah sedikit.
“Minggu ini merupakan minggu terakhir. Minggu depan saya tidak lagi menerima sebarang ubah suai pakaian kerana sudah tidak sempat,” ujarnya yang telah 25 tahun bertapak di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Sementara itu, peniaga batik, ROSNIYATUL HIDAYAH BAHARUDIN LATIF, 43, memberitahu bahawa beliau turut menerima tempahan yang banyak bagi produk batik.
“Seperti biasa, fokus saya adalah di bazar raya Bayan Lepas yang akan bermula pada 10 Ramadan terakhir. Buat masa ini, saya memberi tumpuan di bazar Komtar dahulu,” jelas beliau kepada Buletin Mutiara.

Seorang lagi tukang jahit yang menawarkan perkhidmatan ubah suai jeans, MOHD. FAID AHMAD MUSTAPA, 42, memaklumkan bahawa beliau mampu menerima antara 30 hingga 50 tempahan ubah suai setiap hari.
“Dari segi jumlah, masih kekal sama, tidaklah terlalu banyak seperti zaman dahulu, tetapi masih cukup untuk mencari rezeki.
“Walaupun banyak, kebanyakannya hanya pembaikan kecil yang mudah untuk disiapkan,” katanya yang menjalankan perniagaan di Komtar sejak 17 tahun lalu.

Bagi tukang jahit, HAMIDAH MAT, yang berusia lingkungan 40-an pula, beliau menerima kira-kira 50 tempahan baju untuk Aidilfitri tahun ini.
“Kalau dibandingkan dengan dahulu, tempahan sekarang agak berkurangan dan mungkin disebabkan ramai yang membeli pakaian secara dalam talian,” ujarnya yang telah menutup tempahan untuk Hari Raya Aidilfitri.

Akhir sekali, Buletin Mutiara mengunjungi butik Kenwalk milik OOI SIONG LAM, yang berusia lingkungan 50-an.
Menurut beliau, tempahan baju Melayu bagi tahun ini dilihat agak berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Tempahan baju uniform masih banyak, tetapi untuk baju Melayu, jumlahnya tidak seperti dahulu,” katanya.