BERMULA dengan sebidang tanah lapang hampir satu ekar yang mempunyai taman permainan uzur dan kereta usang, kini kawasan ini tampil sebagai Taman Kejiranan Lengkok Nipah yang dikunjungi ramai.
Jelas Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chan Soon Aun, taman tersebut diwujudkan khas menepati ciri-ciri mesra warga emas dan inklusif.

“Taman ini sudah 100 peratus siap, daripada kawasan yang agar terbiar dan menyakitkan pemandangan, kita telah ubah ia menjadi kawasan riadah unik sesuai untuk semua lapisan usia.
“Selepas siap pada hujung tahun lepas sambutan agak menggalakkan daripada penduduk setempat terutamnya di Taman Lip Sin ini sendiri,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.
Kunjungan wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, LAW SUUN TING mendapati Taman Kejiranan Lengkok Nipah sangat unik dengan ciri-ciri arkitek moden.

Difahamkan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pusat Khidmat Parlimen Bayan Baru membelanjakan kira-kira RM700,000 bagi menyiapkan kemudahan berkaitan.
Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata pembangunan tersebut akan dijalankan selepas mengambil kira populasi warga emas di Taman Lip Sin di sini.
“Saya amat mengalu-alukan projek ini kerana dianggarkan terdapat kira-kira 50,000 penduduk di kawasan ini tetapi langsung tiada taman riadah yang khusus, terutamanya kepada golongan warga emas di sini.
“Jadi selepas perbincangan dengan MBPP, mereka bersetuju untuk naik taraf taman ini supaya lebih mesra warga emas dan merupakan yang pertama seumpamanya di Pulau Pinang dan mungkin juga di dalam negara,” katanya.