6 kawasan diwarta Zon Bebas Asap Rokok

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNDemi melindungi hak masyarakat daripada kesan perokok pasif, Pulau Pinang telah mengambil inisiatif mewartakan enam kawasan sebagai Zon Bebas Asap Rokok bertepatan dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia di bawah Article 8, Framework Convention on Tobacco Control.

Menurut Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, pelaksanaan Program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR) juga adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan komuniti mengenai kesan perokok pasif melalui aktiviti promosi dan advokasi.

“Pelaksanaan PENBAR dilihat mampu mengurangkan risiko perokok pasif sekaligus mengurangkan bilangan perokok di negeri ini dan meningkatkan kawasan bebas asap rokok di Pulau Pinang.

“Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti enam kawasan rekreasi untuk diwartakan sebagai Zon Bebas Asap Rokok.

“Manakala bagi kawasan melibatkan kependudukan dan aktiviti komersial, pelaksanaan akan dijalankan melalui tiga fasa iaitu fasa pertama di Tapak Warisan Dunia George Town, fasa kedua kawasan lain yang akan dikenalpasti di zon Pulau dan fasa ketiga di Seberang Perai,” ujar Boon Poh pada sidang akhbar Hebahan Awam PENBAR dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT) di sini baru-baru ini.

MoU ditandatangani MySihat diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Yahya Baba dan PHT diwakili Presidennya, Khoo Salma Nasution disaksikan Boon Poh di pejabatnya.

Enam kawasan rekreasi tersebut ialah Taman Perbandaran, Jalan Utama; Botanical Garden, Jalan Air Terjun; Empangan Air Itam; Empangan Telok Bahang; Taman Bandar Ampang Jajar dan Empangan Mengkuang, Berapit.

Di bawah Sub peraturan 11(1), Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, pindaan 2012, terdapat 21 kawasan larangan merokok telah diwartakan antaranya, di dalam lif atau tandas awam, di mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan dan di dalam mana-mana bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan.

Jika disabitkan dengan kesalahan, perokok boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Walau bagaimanapun, pada peringkat awal pelaksanaan, penguatkuasaan akan dijalankan secara nasihat dan teguran (educational enforcement) bagi suatu tempoh yang akan ditentukan kelak,’’ jelas Boon Poh.