Tapak Pelupusan Sampah Jelutong bakal dibangun sebagai taman

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNPerbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) diberi tanggungjawab untuk mengendalikan projek merancang dan pemulihan Tapak Pelupusan Sampah Jelutong untuk dibangunkan sebagai taman serta pembangunan bercampur kelak.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, kata putus itu dicapai pada satu mesyuarat dipengerusikan Y.A.B. Ketua Menteri pada 11 Julai lalu.

“PDC telah diberikan tanggungjawab ini dan diarahkan untuk melantik perunding serta menyediakan request for proposal (RFP) untuk perlombongan dan penambakan Tapak Pelupusan Sampah Jelutong dalam tempoh 3 bulan bagi tujuan dibangunkan sebagai taman dan pembangunan bercampur.

“Ini kerana Tapak Pelupusan Sampah Jelutong yang telah beroperasi sejak tahun 1992 tidak lagi sesuai digunakan untuk pembuangan sisa-sisa organik ekoran masalah pencemaran dan terlalu dekat dengan pembangunan perumahan. Malah, beberapa kebakaran juga telah berlaku sebelum ini sehingga menimbulkan rungutan penduduk berhampiran,’’ katanya pada satu sidang akhbar di Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye.

Kon Yeow memberitahu, apabila lokasi tersebut ditebusguna kelak, ia mampu meningkatkan nilai guna tanah di kawasan sekelilingnya dan dapat menyelesaikan rungutan penduduk berdekatan. Pada masa sama, ia dapat menjimatkan kos penyelenggaraan tahunan MPPP kira-kira hampir RM 1 juta.

“Cara mesra alam akan digunakan untuk menguruskan tapak berkenaan bagi mengurangkan pengeluaran metana dan juga kesan karbon,’’ jelasnya sambil menyatakan bahawa inisiatif tersebut adalah salah satu projek hijau yang perlu dilaksanakan untuk generasi akan datang.

Tambah beliau, anggaran jangka tempoh pemulihan antara lima hingga 10  tahun melibatkan anggaran kira-kira keberatan sampah mencecah 10.5 juta tan.

“Ini kerana, purata berat harian bahan yang diterima adalah 1,142 tan yang terdiri daripada binaan, tanah korekan, sampah pukal dan sampah kebun.

“Ekoran kepadatan dan lokasi Tapak Pelupusan Sampah Jelutong, sisa-sisa organik tidak lagi diterima di sini sebaliknya ia dihantar terus ke Tapak Pelupusan Sampah di Pulau Burong, Seberang Perai Selatan,” ujar Kon Yeow.

CHOW Kon Yeow (tengah), Phee Boon Poh (kiri sekali) dan Ir. Ang Aing Thye menunjukkan carta Tapak Pelupusan Sampah Jelutong yang bakal ditebusguna untuk dijadikan taman dan pembangunan bercampur kelak di Komtar baru- baru ini.
CHOW Kon Yeow (tengah), Phee Boon Poh (kiri sekali) dan Ir. Ang Aing Thye menunjukkan carta Tapak Pelupusan Sampah Jelutong yang bakal ditebusguna untuk dijadikan taman dan pembangunan bercampur kelak di Komtar baru- baru ini.